Friday, 15 August 2014

Kemeriahan ‘Office Warming’ Tingkat 13



Majlis “Office Warming” Tingkat 13 dan Meraikan Aidilfitri yang diadakan pada hari ini begitu berseri-seri dengan tema pakaian berwarna ungu.
Tema ini atas pilihan semua kakitangan di tingkat 13 yang sepakat mahu memilih warna ungu.Ternyata pilihan mereka ini bersesuaian kerana masing-masing dilihat begitu anggun dan bergaya dengan pakaian raya masing-masing.
Para petugas Bernama mulai bertandang seawal jam 11 pagi bagi menikmati pelbagai juadah raya yang memikat selera.
Antara menu yang disediakan ialah nasi himpit, kuah kacang, rendang ayam, laksa dan ayam masak merah selain aneka jenis kuih raya dan pencuci mulut yang enak.
Pengurus Sumber Manusia, Puan Noor Fishah Osman menjelaskan bahawa hasrat untuk mengadakan office warming ini sudah terpendam sejak mereka berpindah dari tingkat 14 ke tingkat 13 pada bulan Mei yang lalu, dan mula beroperasi secara rasmi pada bulan Jun.
Selain Bahagian Sumber Manusia, Bahagian Harta dan Pentadbiran serta Audit Dalam turut beroperasi di tingkat yang sama.
“Ada juga di kalangan petugas Bernama yang tidak tahu, di mana terletaknya Jabatan Sumber Manusia. Jadi bagi meraikan kawan-kawan kita yang disayangi, kita anjurkan majlis office warming. Tapi kita tunggu sehingga bulan Syawal kerana bulan ini adalah bulan yang meriah,” katanya.
Mengenai sambutan hari ini, beliau bersyukur ke hadrat Ilahi kerana begitu gembira melihat riak wajah yang ceria pada semua tetamu yang hadir.
“Mungkin agak sukar untuk meraikan rakan-rakan di rumah. Jadi konsepnya, kita raikan kawan-kawan di pejabat kerana kita tahu semua berada di sini. 
Setelah sibuk bekerja setiap hari, ada ketikanya mereka memerlukan rehat,” tambahnya yang gembira melihat para petugas di jabatannya bekerjasama dan bergotong-royong bagi memastikan majlis pada hari ini berjalan dengan jayanya. 


Oleh Ridzuan Mohd Ghazali

No comments:

Post a Comment