Wednesday, 20 August 2014

Perjalanan Malaysia Dalam Sampul Surat Hari Pertama...


FotoBERNAMA


 Menyoroti setiap peristiwa menarik dan bersejarah yang dilalui negara menerusi keluaran setem dilihat mempunyai signifikan kepada kemerdekaan negara yang mencapai 57 tahun usia.
Perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dengan pelbagai bentuk perubahan boleh dilihat dalam  setem keluaran Pos Malaysia.
Bagi pengumpul setem, setiap keluaran mempunyai keistimewaan tersendiri yang wajib ada bagi melengkapkan koleksi terutama keluaran terdahulu yang berpuluh-puluh tahun usianya.
Mungkin ramai yang tidak tahu selain setem, ramai dalam kalangan pengumpul setem juga adalah pengumpul Sampul Surat Hari Pertama.
Mereka bukan sahaja memiliki koleksi setem bagi setiap keluaran tetapi juga sampul surat yang dicop tarikh hari pertama setem itu dikeluarkan.
Itulah yang menjadi buruan ribuan pengumpul Sampul Surat Hari Pertama termasuk Ahmad Zukiman Zain, 53 tahun.
Koleksi beliau yang hampir lengkap, bermula dengan Sampul Surat Hari Pertama keluaran setem sempena kemerdekaan pada tarikh keramat 31 Ogos 1957 sehingga koleksi terkini. Semuanya disimpan dan dijaga rapi dalam 12 buah fail khas sebagai koleksi yang cukup tinggi nilainya.

HOBI KETIKA SEKOLAH HINGGA ALAM PEKERJAAN

Menyingkap permulaan hobi itu, Zukiman, yang memulakan kerjaya sebagai wartawan di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), berkata semuanya bermula dengan minat beliau terhadap bahan sejarah.
Beliau, yang kini Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama, menyatakan selain suka membaca bahan sejarah, tugas sebagai wartawan membolehkan beliau melapor dan mencatat sejarah negara lantas terfikir untuk menyimpan koleksi yang mudah diperoleh dan murah terutama perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka.
Ditambah dengan pendedahan awal ketika menyertai kelab filateli di Sekolah Victoria Institution pada masa itu. Ia terus menyuburkan minat Zukiman untuk mengumpul setem sehinggalah awal tahun 1990-an, beliau semakin serius dengan hobi itu tetapi lebih memberi fokus kepada Sampul Surat Hari Pertama.
Ujar beliau, walaupun kecil, setem memberi makna yang cukup besar sebagai jendela negara kepada dunia.
"Banyak makna tersirat pada setem yang kecil itu. Perjalanannya luas ke serata dunia. Bukan itu sahaja, ia mempunyai nilai artistik yang tersendiri dan itu menjadikan setiap tema yang diangkat dalam keluaran setem sangat penting", katanya.
Melihat kepentingan tema-tema pada setem itu menyebabkan kini hampir setiap bulan Pos Malaysia mengeluarkan koleksi setem baru berbanding ketika awal pengeluarannya yang hanya menghasilkan satu hingga tiga koleksi dalam setahun.

MEMBURU SAMPUL SURAT HARI PERTAMA

Berbanding setem yang agak terhad maklumatnya, Sampul Surat Hari Pertama lebih lengkap terutama risalah yang disertakan di setiap keluaran yang mengandungi maklumat mengenai tema setem yang dipilih serta signifikan tema itu kepada negara.
Lebih istimewa yang diburu oleh pengumpul bukan sekadar setem yang dikeluarkan tetapi juga cop yang diperoleh pada sampul sampul surat yang menyatakan tarikh sesuatu setem itu dikeluarkan.
Ini akan membantu melengkapkan pemahaman mengenai setem itu berdasarkan maklumat yang diberi, katanya.
Pada peringkat awal selepas merdeka, tiada risalah disertakan namun sekitar tahun 1960-an, setiap keluaran setem terbaru disertakan risalah pada Sampul Surat Hari Pertama sehinggalah keluaran hari ini.
Beliau, yang memperoleh Sampul Surat Hari Pertama pada tahun 1970, terus menanam minat untuk memburu koleksi-koleksi awal yang dikeluarkan Pos Malaysia.
Sentiasa berbincang dengan rakan-rakan pengumpul lain terutama setiap kali bertemu ketika pameran setem, membantu beliau mencari koleksi yang kurang.
"Selagi tidak lengkap dan gagal memperoleh koleksi yang dicari, selagi itu kita akan berusaha mendapatkannya. Bila dapat... perasaan puas tidak terkata", katanya yang turut membeli koleksi-koleksi Sampul Surat Hari Pertama di sebuah kedai menjual setem lama di Wisma Imbi.
Pelaburan paling mahal yang pernah dibuat oleh Zukiman sebanyak RM800 bagi mendapatkan satu koleksi Sampul Surat Hari Pertama bertemakan burung yang dikeluarkan pada tahun 1965.


 PERUBAHAN MALAYSIA

Mengimbas usaha yang dilakukan bagi mendapatkan koleksi yang dicari, beliau tidak dapat melupakan ketika terpaksa beratur panjang dan berpanas bersama pengumpul lain di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur semasa keluaran Sampul Surat Hari Pertama untuk setem yang bertemakan Formula One.
"Panjang orang beratur ketika itu hampir satu kilometer. Bila dapat je koleksi tu memang puas hati", katanya ketika diminta mengimbau kenangan itu.
Ujar beliau, setiap kali membuka dan melihat koleksi yang ada satu persatu, timbul rasa bangga terutama melihat proses pembangunan yang dicapai Malaysia sejak merdeka sehingga kini.
Perubahan-perubahan itu bukan sahaja pada saiz dan warna setem malahan bagi tema-tema yang dipilih.
Pada tahun-tahun awal selepas merdeka, tema yang dipilih biasanya berkisar perpaduan rakyat, penggabungan Malaysia dan Singapura, kemudian berubah kepada projek-projek pembangunan dan komoditi seperti getah, bijih timah, flora dan fauna.
Perubahan itu semakin ketara sejak tiga tahun kebelakangan ini apabila tema-tema yang dipilih lebih meluas dan pelbagai sesuai dengan keadaan semasa.
Tema tradisi seperti Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, ulang tahun pemerintahan sultan serta ulang tahun kemerdekaan turut tidak ketinggalan mewarnai koleksi setem yang dikeluarkan.

"Apabila melihat semua koleksi ini, kita boleh melihat perjalanan Malaysia dari pelbagai sudut dari peringkat awal kemerdekaan sehingga hari ini. Ia memberi gambaran imej Malaysia sehingga hari ini", katanya.

Oleh Kurniawati Kamarudin
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment