Monday, 11 August 2014

Kerjasama istimewa Antara-Bernama…


Foto BERNAMA
Agensi berita Indonesia Antara akan tetap menjalin kerjasama istimewa dengan Bernama walau siapapun yang memimpinnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Antara, Saiful Hadi berkata hubungan erat antara kedua-dua agensi itu juga harus diteruskan oleh generasi muda.
“Siapapun yang memimpin Antara, kita akan tetap ada kerjasama special dengan Bernama,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Bernama TV dengan Antara TV bagi program ‘Salam Dari Kuala Lumpur’ dan ‘Salam Dari Jakarta’ di Wisma Bernama.
Antara akan mendapat Direktur Pemberitaan (Ketua Pengarang) yang baharu setelah Akhmad Kusaeni mengakhiri tugasnya pada 6 Ogos lepas.
Saiful Hadi berkata kerjasama antara kedua-dua agensi berita itu amat penting untuk menjadikan cadangan pembentukan konfederasi agensi-agensi berita ASEAN satu kenyataan.
Beliau berharap konfederasi agensi-agensi berita ASEAN itu dapat dibentuk  semasa Malaysia menjadi pengerusi ASEAN tahun depan selaras pembentukan komuniti ASEAN.
Mengenai perjanjian itu, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh berkata ia bertujuan membolehkan Antara dan Bernama menjana pendapatan untuk keuntungan dan menampung kos produksi program tersebut.
"Program ini sudah berjalan selama sebulan dan sudah tujuh kali disiarkan dan sekarang ini adalah khusus bagi menandatangani perjanjian kerjasama pemasaran bagi program itu,” katanya.
Kerjasama itu merupakan platform bagi kedua-dua agensi menghasilkan program televisyen yang lebih bermutu dan berinformasi untuk tontonan penonton di kedua-dua negara.
"Kita (Bernama) sentiasa bersikap terbuka jika ada kerjasama menguntungkan untuk dilaksanakan di masa hadapan demi mengeratkan lagi hubungan ini dan saya percaya Antara juga begitu," katanya.
Saiful Hadi berkata rancangan 'Salam dari Kuala Lumpur' yang disiarkan Antara TV mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila turut 'dipetik' dan disiarkan stesen televisyen tempatan di Indonesia.
Sejak dilancarkan sebulan lalu, program tersebut telah disiarkan oleh lebih 280 buah stesen televisyen tempatan di Indonesia.
"Stesen-stesen televisyen lokal ini yang berada di wilayah-wilayah seperti Aceh dan Sulawesi menggemari rancangan itu kerana bagi mereka program itu bersifat antarabangsa dan menambah prestij stesen televisyen mereka," kata Saiful Hadi.
Program 'Salam Dari Kuala Lumpur' mengutarakan isu-isu semasa, berita bercorak santai dan kejayaan rakyat Indonesia di Malaysia yang diterbitkan Bernama TV disiarkan oleh Antara TV di Indonesia, manakala Bernama TV menyiarkan 'Salam Dari Jakarta' terbitan Antara TV.
Program selama 30 minit yang bermatlamat membantu meningkatkan pengetahuan serta persefahaman rakyat serumpun dan seterusnya mengukuhkan hubungan dua hala itu telah bersiaran secara serentak sejak 5 Julai lepas.
Kedua-dua program ke udara pada setiap Sabtu, pukul 9.30 malam dengan siaran ulangan pada Ahad, pukul 11 malam.
 -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment