Tuesday, 26 August 2014

Majlis Hari Raya istimewa...



Majlis Hari Raya Aidil Fitri Bernama hari ini amat istimewa.
Walaupun sederhana kerana berlatarbelakang suasana pilu MH17, namun majlis tetap ceria.
Selain menu utama,  nasi beriani gam, roti nan dan sate yang disediakan Bernama, pelbagai jabatan menghidangkan  juadah istimewa masing-masing  yang telah dipersetujui.
Jabatan Pengarang menyediakan lemang, nasi impit, rendang serta kuah kacang manakala Pejabat Pengurus Besar tampil dengan pencuci mulut seperti agar-agar dan kek serta buah-buahan.
Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran menyediakan soto ayam manakala Jabatan Niaga menghidangkan mee goreng, char kuey teow goreng, bihun goreng dan macaroni goreng.
Jabatan Kewangan dan Akaun pula menyumbangkan beraneka kuih, kuih raya dan kerepek.
Tidak ketinggalan juga Bernama TV yang menyediakan murtabak manakala Bernama Radio24 menghidangkan bubur durian dan bubur pulut hitam serta aiskrim.
Jabatan Pengarang, yang telah memilih warna biru untuk majlis Raya tahun ini, terserlah dengan kebanyakan para petugas lelakinya berpakaian baju Melayu biru manakala petugas wanitanya tidak kurang berseri-seri mengenakan warna biru.
Kelihatan juga jabatan yang memilih warna hijau manakala ‘pink’ turut menjadi pilihan.
Sambutan kali ini diadakan khusus sesama warga Bernama tanpa melibatkan jemputan luar. Ini bersesuaian dengan semangat Hari Raya untuk merapatkan silaturahim di kalangan mereka di samping berpadu tenaga menjayakan majlis yang istimewa sempat diadakan dalam bulan Syawal.
Para petugas Jabatan Kewangan dan Akaun turut menyemarakkan semangat kemerdekaan negara dengan mengedarkan 'Jalur Gemilang' mini kepada rakan-rakan Bernama.     
 

No comments:

Post a Comment