Kira-kira
400,000 pengunjung membanjiri Dataran Merdeka pagi ini bagi sambutan Hari
Kemerdekaan ke-57 yang turut menampilkan ikon animasi negara, Upin dan Ipin
sebagai tarikan utama.
Watak
animasi popular itu diketengahkan dalam acara paling utama kemerdekaan negara bagi meraikan kejayaan Malaysia meneroka bidang baharu seperti industri kreatif.
Menteri
Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Upin dan Ipin
kini menjadi harta intelek negara yang telah menembusi pasaran antarabangsa dan
ini merupakan sesuatu yang harus rakyat banggakan .
Kemunculan
mereka juga bagi menarik minat generasi muda terutama kanak-kanak sebagai
penyambung warisan bumi tercinta ini selaras tema sambutan “Malaysia…Di Sini
Lahirnya Sebuah Cinta”.
"Ia
menjadikan sambutan kemerdekaan bukan lagi semata-mata tugas ibu bapa membawa
anak-anaknya, tetapi anak-anak yang mengajak ibu bapa untuk datang ke dataran ini,"
kata Ahmad Shabery, yang juga pengerusi jawatankuasa sambutan Hari Kemerdekaan
ke-57, selepas acara itu.
Sambutan
di Dataran Merdeka bermula pukul 8 pagi
dan tamat kira-kira pukul 10.30 pagi.Namun orang ramai termasuk kanak-kanak,
yang ketara ramainya kali ini, mula hadir
sejak 6 pagi dengan penuh bersemangat sambil mengibarkan ‘Jalur Gemilang’.
Ada
yang menzahirkan jiwa patriotik mereka dengan
berpakaian yang mempunyai elemen jalur merah dan putih, warna biru serta bulan
dan bintang yang terdapat dalam bendera Malaysia.
Cuaca
terang melancarkan pergerakan di udara dengan tumpuan kepada ‘kehadiran’ Bapa Kemederkaan Tunku Abdul
Rahman Putra Al-Haj.
Gambar
ikonik Almarhum Tunku Abdul Rahman mengangkat tangan ketika melaungkan perkataan
keramat 'Merdeka' pada 31 Ogos 1957 dipaparkan pada Zeppelin (belon udara) yang
berlegar di angkasa.
Angka
'57' bagi menandakan sambutan yang ke-57 semenjak tarikh keramat 31 Ogos 1957 serta
tema sambutan turut diletakkan pada belon udara itu.
Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan penghargaan kepada warga Malaysia
daripada segenap lapisan masyarakat yang hadir menyemarakkan sambutan di
Dataran Merdeka itu.
"Syabas
dan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang dengan penuh semangat
memeriahkan perarakan Hari Kemerdekaan ke-57 pagi tadi," kata perdana
menteri menerusi catatan di laman Facebook beliau.
Sambutan
itu bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim
Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. .
Mengulas
sambutan kali ini yang berlatarbelakang tragedi menyedihkan menimpa negara melibatkan
pesawat Malaysia Airlines, Ahmad Shabery berkata rakyat mesti terus bersemangat
kental dalam menghadapi apa jua cabaran mendatang.
"Ia
adalah kesederhanaan tetapi tidak bermaksud kesederhanaan dari segi semangat.
Semangat mesti kuat, semangat mesti dikentalkan dan kita tak melakukan secara
keterlaluan tetapi ia penuh dengan makna.
Menteri
Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata walaupun negara masih bersedih
dengan tragedi pesawat MH370 dan MH17 Malaysia Airlines, namun semangat rakyat
masih kuat untuk menghadapi sebarang cabaran.
"Tak
kurang kemeriahan dan semangat rakyat Malaysia (diterjemahkan) dengan (mereka)
keluar beramai-ramai ke Dataran Merdeka memang terserlah sekali," katanya.
Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata
sambutan kali ini sederhana tetapi cukup untuk menyuntik semangat membina
ketahanan bagi menghadapi pelbagai cabaran.
"Kita
gunakan sambutan kemerdekaan ini untuk membina kekuatan dalaman kita untuk
menangkis segala ancaman dari luar yang cuba menghuru-harakan negara
kita," katanya.
Warga
emas, Ariffin Saad, 63, yang hadir bersama keluarga berkata tema tahun ini
memang tepat pada masanya ketika negara diuji dengan pelbagai dugaan termasuk
kehilangan pesawat MH370 dan tragedi
MH17 yang ditembak jatuh.
"Ia
sedikit sebanyak menyentuh hati saya terutama sekali selepas pelbagai dugaan
yang terjadi. Saya harap tema ini dan sambutan hari ini, dapat melahirkan
semangat cintakan negara kepada semua," katanya.
Bagi
seorang doktor, S.Darshini, 28, tema sambutan tahun ini yang mengangkat
perasaan cinta membawa maksud yang sangat mendalam.
"Tema
tahun ini sangat unik sebab unsur cinta yang diterapkan bagi saya bukan sahaja
cinta terhadap negara, malah rasa cinta rakyat Malaysia yang berbilang kaum
antara satu sama lain," katanya.
Pekerja
swasta, Alvin Wee, 27, berkata sambutan kali ini dengan tema yang unik
menyuntik semangat luar biasa buat dirinya.
"Tema
kali ini mengenai cinta, mengajak kita mencintai sesama kita kerana kita semua
rakyat Malaysia dan di sini lahirnya cinta," katanya yang hadir bersama
pasangannya.
Bagi
pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Muhd Shafik Sihat, 18, peluang
menyertai perbarisan Hari Kemerdekaaan itu merupakan satu penghormatan baginya,
dan mengajar dirinya untuk menjadi lebih patriotik.
Seorang
lagi pelatih PLKN, Nur Syafilah Abd Kahhar, 18, berkata selain penyertaan
masyarakat berbilang kaum, program itu sentiasa memberi penekanan terhadap
penyemaian semangat patriotisme dan modul berasaskan kenegaraan semasa latihan.
(Foto-foto BERNAMA)
(Foto-foto BERNAMA)
No comments:
Post a Comment