Tujuh petugas editorial Bernama hari ini menerima kejutan apabila dihadiahkan tiket penerbangan ke luar negara serta sijil simpanan sebagai pemenang Anugerah Insentif Jabatan Pengarang yang julung kali diadakan.
Anugerah itu diadakan dengan kerjasama AirAsia Bhd (AirAsia) yang menaja tiket penerbangan dan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang menyediakan Sijil Simpanan Premium (BSN).
Ketua Komunikasi AirAsia Aziz Laikar berkata idea pemberian tiket penerbangan kepada para pemenang Anugerah Insentif Jabatan Pengarang Bernama itu tercetus ekoran lawatan delegasi Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab ke Ibu pejabat AirAsia RedQ di Sepang pada 6 April lepas.
"Pengerusi Eksekutif AirAsia Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aireen Omar baru-baru ini bersetuju untuk menyediakan tiket penerbangan itu sebagai tanda penghargaan terhadap warga kerja Bernama," katanya.
Hadiah disampaikan oleh Zakaria pada majlis di Wisma Bernama yang turut dihadiri Aziz, mewakili AirAsia dan Timbalan Ketua Pengarang Bernama (Perkhidmatan Berita Dalam Negeri) Datuk Mokhtar Hussain.
Aziz berkata anugerah berkenaan akan dijadikan acara tahunan bertujuan memberi semangat dan motivasi kepada wartawan dan juruforo Bernama menghasilkan berita eksklusif yang bermutu dan menarik.
"Hadiah tiket penerbangan AirAsia ke destinasi popular ini juga dapat memberi keseronokan kepada para pemenang setelah berjaya menghasilkan berita terbaik. Selain tiket penerbangan, kami akan turut memberi hadiah penginapan percuma di Tune Hotel, milik anak syarikat AirAsia Bhd pada masa depan,” katanya.
Zakaria dalam ucapannya berkata pengurusan Bernama memang mengutamakan pencapaian di bawah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setiap wartawan dan jurufoto kerana KPI boleh menunjukkan potensi dan kebolehan seseorang pekerja.
"Saya berbesar hati dan berterima kasih kepada AirAsia kerana sudi menyumbang tiket penerbangan untuk Anugerah Insentif ini. Pihak Bernama juga menghargai sumbangan AirAsia dalam sambutan Jubli Emas Bernama pada Mei lepas.
"Bernama juga menghargai sumbangan BSN dalam bentuk Sijil Simpanan Premium bernilai RM1,500,” katanya.
Hadiah kemenangan itu diharapkan dapat memberi motivasi kepada wartawan dan jurufoto Bernama untuk menghasilkan berita eksklusif dan gambar-gambar yang menarik, kata Zakaria.
Pemenang bagi kategori Wartawan Biro Terbaik Zalina Maizan Ngah, 41, berkata beliau sangat terharu dengan kemenangan itu dan tidak menjangka akan menerima tiket penerbangan AirAsiaX ke Tokyo, Jepun kerana Bernama mempunyai barisan wartawan terbaik di seluruh negara.
"Nasihat saya ialah kita harus ikhlas bekerja dan terus menghasilkan berita-berita eksklusif bermutu tinggi kerana ia bukan sahaja memberi KPI yang baik kepada diri sendiri, malah memberi imej baik kepada Bernama," katanya yang berkhidmat dengan Bernama selama 16 tahun.
Mohd Afiq Mohd Asri, 26, berkata kemenangan itu akan memberi semangat dan motivasi kepada dirinya untuk menghasilkan berita-berita eksklusif menarik pada masa depan.
"Anugerah dimenangi ini merupakan penghargaan dan pengiktirafan terhadap kerja keras saya selama ini untuk menghasilkan berita yang terbaik sekaligus dapat mengharumkan nama Bernama sebagai agensi berita tersohor di peringkat nasional dan luar negara,” katanya.
Penyunting Shamsudin Puteh berkata beliau amat terharu kerana dipilih menerima hadiah.
"Sesuatu yang tak pernah terlintas di fikiran saya sebagai petugas kontrak. Ternyata panel juri tidak bersikap diskriminasi terhadap petugas kontrak. Saya hormati sikap profesional mereka.
"Saya kata begitu bukan sebab mereka memilih saya tapi kerana sikap mereka yang hanya memandang kepada hasil kerja.
"Saya bukan yang terbaik cuma mungkin bernasib baik," kata Shamsudin, 61.
Senarai pemenang Anugerah Insentif Jabatan Pengarang Bernama:
Penyunting Shamsudin Puteh berkata beliau amat terharu kerana dipilih menerima hadiah.
"Sesuatu yang tak pernah terlintas di fikiran saya sebagai petugas kontrak. Ternyata panel juri tidak bersikap diskriminasi terhadap petugas kontrak. Saya hormati sikap profesional mereka.
"Saya kata begitu bukan sebab mereka memilih saya tapi kerana sikap mereka yang hanya memandang kepada hasil kerja.
"Saya bukan yang terbaik cuma mungkin bernasib baik," kata Shamsudin, 61.
Senarai pemenang Anugerah Insentif Jabatan Pengarang Bernama:
Kategori Berita Biasa dan Eksklusif (Tiket AirAsiaX ke Perth, Australia): Mohd Afiq Mohd Asri (Wartawan Meja Jenayah)
Kategori Wartawan Biro Terbaik (Tokyo, Jepun): Zalina Maizan Ngah (Ketua Biro Bernama Terengganu)
Kategori Berita Ekonomi Terbaik (Lombok, Indonesia): Harizah Hanim Mohamed (Wartawan Meja Ekonomi)
Kategori Berita Antarabangsa Terbaik (Sijil Simpanan Premium BSN RM1,500): Ayu Dalita Pendek (Wartawan Meja Antarabangsa)
Kategori Foto Terbaik (Cebu, Filipina): Arjaseneh Ahmad (Jurufoto Biro Bernama Terengganu)
Kategori Penyunting Bahasa Malaysia Terbaik (Hydrebad, India): Shamsudin Puteh (Meja Penyunting, Perkhidmatan Berita Dalam Negeri)
Penyunting Bahasa Inggeris Terbaik (Guangzhou, China): Ruziah Kassim (Meja Penyunting Bahasa Inggeris, Perkhidmatan Berita Dalam Negeri)
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment