Daripada Abdul Rahman Ahmad di Bukhara, Uzbekistan
Tinggal baki kira-kira 4,700 kilometer lagi bagi lapan peserta Kembara Inspirasi Haji untuk mengakhiri pengembaraan mereka sebelum sampai ke Makkah.
Menjelang tengah malam ini, mereka perlu menyeberangi sempadan Uzbekistan untuk melalui pintu masuk Turkmenistan yang terletak kira-kira 100 km dari Bukhara kerana visa lawatan ke Uzbekistan akan tamat dalam tempoh itu.
Dari pintu masuk Turkmenistan, peserta kembara perlu menempuh kira-kira 600 km untuk sampai ke ibu negaranya, Ashgabat dan bermalam di sana sebelum meneruskan perjalanan ke pintu masuk Iran keesokannya.
Bandar Bukhara adalah persinggahan pedagang yang terletak di Laluan Sutera ribuan tahun lalu dan peserta kembara tiba tengah malam Sabtu selepas menempuh perjalanan 600 km dari Tashkent pada pagi Jumaat.
Dalam perjalanan ke Bukhara, peserta kembara telah singgah di Samarkand untuk melawat kompleks dan makam Imam al-Bukhari, perawi hadis terkenal yang lahir pada 860 masihi.
Sebelum membuat lawatan ke makam, peserta kembara telah menunaikan solat sunat Tahiyatul masjid dan solat qasar berjemaah di masjid berhampiran makam berkenaan.
Peserta Kembara sempat singgah di dataran Ragistan yang menempatkan tiga bangunan bekas madrasah yang mempunyai seni rekabentuk sama yang dibina daripada abad ke-14 hingga 17.
Ketika berada di Bukhara, peserta kembara telah melawat istana lama Ark Citavral yang dibina pada abad ke-4 sebelum masihi dan dijadikan istana musim dingin raja Bukhara yang terakhir, Emir Alim Khan sebelum baginda melarikan diri ke Afghanistan ketika pemberontakan Bolshevik yang menggulingkan pemerintahan Tsar di Rusia awal 1900.
Uzbekistan dan Bukhara sebelum tahun 1900 adalah di bawah perlindungan pemerintah Tsar yang terhapus dalam pemberontakan yang melahirkan pemerintahan berfahaman komunis di Rusia dan semua tanah jajahan dan negara di bawah perlindungannya.
Di dalam bekas istana lama itu terdapat sebuah bangunan masjid yang kini dijadikan muzium manuskrip al-Quran yang dikunjungi ramai pelancong.
Selain itu mereka juga menziarahi masjid kedua terbesar di Bukhara, Masjid de Kalon yang suatu ketika dahulu boleh menerima bilangan jemaah sehingga 12,000 orang dalam satu-satu masa sebelum zaman pemerintahan Kesatuan Soviet.
Namun kini solat hanya dibenarkan di dewan utama yang depannya terdapat madrasah lama yang dijadikan tempat pengajian agama Islam untuk kira-kira 120 kanak-kanak lelaki ketika ini.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment