Wednesday 30 August 2017

Jemaah Malaysia Mula Bergerak Ke Arafah

 Daripada Elmi Rizal Elias di Makkah

Kesemua 30,200 jemaah haji Malaysia pada Rabu, mula bergerak secara berperingkat ke Arafah untuk menjalani ibadah wukuf yang merupakan kemuncak haji, pada Khamis (31 Ogos).
Mereka bergerak daripada maktab penginapan masing-masing ke Arafah, yang jaraknya kira-kira 25 kilometer dari Masjidil Haram, bermula 9 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) pada 8 Zulhijjah (30 Ogos), dan dijangka selesai pada tengah malam ini.
Pergerakan jemaah melibatkan 20 bas disediakan bagi setiap maktab yang akan membawa jemaah dalam tiga penggiliran perjalanan.
Ini bermakna 280 bas disediakan bagi membawa jemaah di 14 maktab penginapan membabitkan keseluruhan 840 perjalanan.
Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman menyempurnakan majlis pelepasan kumpulan pertama jemaah haji Maktab 74 dan 75 ke Arafah di Ibu Pejabat TH Makkah di Hotel Abraj Al-Janadriyah di Makkah.
Wukuf adalah rukun haji yang dilakukan dengan seluruh jemaah berada di padang Arafah pada satu waktu yang sama iaitu mulai daripada tergelincirnya matahari (waktu Zohor) pada 9 Zulhijjah (31 Ogos) sehingga sebelum fajar pada 10 Zulhijjah.
Dianggarkan lebih dua juta umat Islam seluruh dunia akan berkumpul di Arafah untuk menjalani ibadah wukuf, rukun yang jika ditinggalkan menyebabkan haji tidak sah.
Cara pelaksanaan ibadah wukuf ini adalah dengan berdiam diri (dan berdoa) di padang luas di sebelah timur luar kota Mekkah.
Kesemua jemaah haji Malaysia akan berada di Arafah sehingga malam 31 Ogos. Mereka kemudian akan melakukan mabit (bermalam) di Muzdalifah dan melontar di Mina sehingga 13 Zulhijjah.
Seterusnya jemaah akan melakukan tawaf dan saie haji serta bertahalul di Masjidill Haram.
Di Arafah, kesemua jemaah Malaysia ditempatkan dalam khemah baharu yang pertama kali digunakan pada musim haji ini.
Khemah itu lebih besar serta kukuh, dengan setiap sebuah boleh memuatkan antara 150 dan 240 jemaah. Khemah berkenaan juga dapat menahan angin kencang serta kalis api.
Kipas angin berwap juga dipasang di setiap khemah dengan setiap maktab disediakan 150 unit bagi keselesaan jemaah.
Pada Hari Wukuf juga, lebih 1,000 jemaah akan mengambil bahagian pada majlis khatam al-Quran sempena World#QuranHour 2017.
Pada masa ini, keadaan cuaca di Arafah agak panas dengan suhu sekitar 40 darjah celsius.
-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment