Saturday 26 August 2017

Hari istimewa bagi Suhendri...

Penolong pegawai tadbir di Bahagian Sumber Manusia, Suhendri Daud genap 30 tahun hari ini dengan azam menjadi insan yang berjaya dunia akhirat.
“InsyaAllah semoga diberi kesihatan yang baik supaya terus dapat beribadah, rezeki yang berkat supaya dikongsi bersama insan yang memerlukan dan keluarga yang bahagia,” kata bapa kepada empat orang anak itu.
Beliau ditanya apa perasaan mencecah angka 30 dalam usianya?
“Mula-mula biasalah rasa agak kekok sebab dah masuk 30 tahun ni sebab rasa diri dah semakin tua.
“Tapi Alhamdulillah dah boleh terima sebab tu hanyalah sekadar angka...Yang penting kena sentiasa positif dengan perancangan Allah,” katanya.
Mula berkhidmat dengan Bernama sejak 18 Julai 2011, Suhendri melihat banyak kebaikan di organisasi ini.
“Bernama yang saya suka hubungan kekeluargaan tanpa mengira pangkat dan kedudukan, tetap hormat dan menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza latar belakang dan agama.
“(Kumpulan) Sokongan pun boleh berkawan dengan P&P (Pengurusan dan Profesional),” kata Suhendri yang sebelum ini berkhidmat selama tiga tahun dengan Tourism Malaysia.
Beliau bahagia bersama isteri Ruhaya Rusni dengan dikurniai empat cahayamata terdiri daripada tiga lelaki berusia 11, 8 dan 6 serta anak perempuan bongsu berusia 3 tahun.
“Rezeki kahwin muda,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur dan dibesarkan di Sungai Choh, Rawang, Selangor itu.
Malam ini, mereka sekeluarga meraikan ulangtahun hari lahir Suhendri.

No comments:

Post a Comment