Friday 25 August 2017

Doa selamat untuk Muammar...

Majlis doa selamat diadakan pagi ini di Tingkat 6 Wisma Bernama bagi pegawai berita Meja Bahasa Arab, Muammar Eusouffi Zainol Abidin yang akan mengerjakan Haji di Tanah Suci.
Beliau dijadualkan berlepas Ahad ini bersama Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh, isterinya Datin Ruhiza Hashim, Pengarah Operasi Bernama News Channel Hakimi Zuffrida Mohd Zain dan mantan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Puan Salbiah Said, yang kini bertugas dengan Unit Portal.
Majlis itu juga diadakan bagi bekas editor Meja Antarabangsa Nor Faridah Abdul Rashid yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi berikutan persaraan Mikhail Raj Abdullah.
Ia juga bertujuan meraikan kedatangan pengarang Meja Berita Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Haji Ahmad Fuad Yahya yang akan menggantikan saudari Nor Faridah sebagai Editor Meja Antarabangsa mulai 4 Sept  ini.
Muammar berterima kasih dan terharu dengan sambutan yang diberikan oleh rakan-rakan dari Perkhidmatan Berita Antarabangsa yang turut mengandungi Meja Bahasa Arab serta 'jiran' di Tingkat 6 iaitu Meja Rencana.
"Kalau ikutkan, saya yang sepatutnya buat majlis sebelum berangkat untuk menunaikan Haji," kata Muammar, 28, yang amat bersyukur mendapat kesempatan tersebut.
Sebelum menyertai Bernama, beliau pernah menjadi mutawif bagi agensi pelancongan yang mengendalikan perjalanan umrah. 
Doa dipimpin saudara Noor Azuki Fahme Ismail dari Meja Bahasa Arab.
  




No comments:

Post a Comment