Pegawai Berita Meja Bahasa Arab Muhammad Mujahid Ishak berkongsi pengalaman membuat liputan Persidangan Antarabangsa Memperkasakan Bahasa Arab Merentasi Cabaran Globalisasi (ALIC) 2017 bersama rakan setugas Muammar Eusouffi Zainol Abidin pada 25 dan 26 Julai lepas di Kedah.
Persidangan selama dua hari itu dianjur dan diadakan di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil. Berikut catatannya:
“Kami bertolak kira-kira pukul 7.45 malam pada 24 Julai dengan menaiki pesawat dari KLIA 2 dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar kira-kira pukul 8.45 malam. Sampai sahaja di sana, sahabat Muammar yang mesra dengan panggilan Ijat, telah menunggu kedatangan kami.
Setelah memasukkan beg ke dalam kereta Ijat, kami dibawa ke rumahnya di Jitra yang terletak kira-kira 15 minit dari lapangan terbang.
Sampai sahaja di rumah beliau, kami dijamu dengan pelbagai jenis durian kampung yang diambil daripada dusun bapanya. Rupa-rupanya sekarang sedang musim durian di sana.
Ijat dan keluarga menamakan durian mereka dengan pelbagai jenis nama seperti 'aiskrim' dan 'kawin'.
Malam itu kami makan durian sehingga puas dan itulah pengalaman makan durian paling puas bagi saya sehingga 10 biji kami berdua habiskan. Itupun kami dipaksa untuk makan lagi oleh Ijat dan keluarganya.
Selepas puas makan durian dan berehat sebentar di rumah Ijat, kami mendaftar masuk ke hotel di Sungai Petani kira-kira pukul 1.30 pagi dan terus tidur.
Keesokan harinya, setelah bersarapan kami terus menuju ke KUIN untuk membuat liputan. Persidangan itu bermula pada pukul 9 pagi dengan ucapan pembukaan oleh Rektor KUIN Profesor Datuk Dr Fakhruddin Abdul Mukti.
Kira-kira 600 peserta terdiri daripada kalangan ahli akademik, guru-guru pakar, pengkaji dan para pelajar dari pelbagai institusi dalam dan luar negara seperti Mesir, Qatar, Jordan, Palestin, Maghribi, Algeria, Libya, Turki, Tunisia, Sudan, Nigeria, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) hadir pada persidangan itu.
Antara pengalaman baru yang menarik bagi kami ialah menemuramah Mufti Kedah yang baharu, Datuk Syeikh Fadzil Awang.
Kami mendapat tahu bahawa beliau baru sahaja dilantik sebagai mufti tidak sampai sebulan.
Jadi kami bertekad untuk menemubual beliau walaupun sekejap dan Alhamdulillah kami berjaya walaupun pada mulanya beliau kelihatan agak keberatan mungkin kerana mahu cepat ke tempat lain.
Kami berasa bangga kerana berjaya menjadi warga Bernama yang pertama dan mungkin di kalangan organisasi berita di Malaysia yang menghasilkan berita dengan quote Mufti Kedah yang baharu.
Kami juga menemubual wakil dari negara Arab iaitu Pengarah Pusat Bahasa Sheikh Zayed, Universiti Al-Azhar Mesir, Prof Dr Mahmoud Ahmad Al Farj.
Kami mendapatkan pandangan beliau mengenai potensi Malaysia dalam pelajaran ilmu bahasa Arab.
Beliau berkata Malaysia mampu berada di barisan hadapan berbanding negara Islam lain dalam mempelajari dan mendalami ilmu bahasa Arab.
Beliau berkata Pusat Bahasa Syeikh Zayed menerima 1,200 pelajar Malaysia setiap tahun, yang mewakili satu pertiga jumlah pelajar di pusat itu sejak ia ditubuhkan pada tahun 2013.
"Kami menerima 3,000 pelajar setiap tahun dari 50 negara dan ini menunjukkan satu pertiga daripada jumlah itu dari Malaysia," katanya dalam sesi temuramah yang dijalankan dalam bahasa Arab.
Persidangan dijalankan dalam enam dewan kuliah secara serentak dan sebanyak 115 kertas kerja meliputi pelbagai cabang ilmu bahasa Arab seperti nahu, saraf, balaghah dan sastera telah dibentang oleh peserta.
Persidangan tamat pada pukul 5 petang dan bersambung semula keesokan harinya.
Selepas itu kami dibawa Ijat untuk merasai makanan istimewa iaitu cendol durian di Sungai Petani dan mee udang di Pulau Sayak.
Agak puas hati makan di sana kerana makanannya yang sedap, banyak dan jauh lebih murah berbanding di Kuala Lumpur.
Pada hari terakhir setelah menyelesaikan beberapa lagi berita, kami sekali lagi dibawa Ijat menikmati cendol durian dan makan durian di rumahnya.
Sekali lagi kami berdua makan hampir 10 biji durian.
No comments:
Post a Comment