Bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar membawa isterinya, Puan Sri Sharifah Aziah Syed Zainal Abidin dan dua orang anak mereka ketika berkunjung ke Wisma Bernama hari ini.
Ahli politik veteran itu memenuhi undangan untuk menyampaikan ceramah mengenai ‘Legasi Merdeka dan Pembinaan Negara Bangsa’ di Pusat Kecemerlangan Bernama di tingkat 12.
Selesai acara itu, Syed Hamid, isterinya serta anak-anak, Sharifah Nurzaima dan Syed Ali Zainal Abidin naik ke tingkat 14 dan menuju Bilik Mesyuarat Lembaga.
Pandangan mereka tertumpu kepada foto bekas-bekas pengurus besar Bernama yang diletakkan di dinding.
Yang menjadi perhatian mereka ialah foto Pengurus Besar Bernama yang pertama, Syed Zainal Abidin Syed Hussein.
Mula memegang jawatan itu pada akhir tahun 1968, Allahyarham merupakan ayah kepada Puan Sri Sharifah Aziah. Beliau meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 22 Feb 1972 setelah terlibat dalam kemalangan jalanraya.
Berhubung tajuk ceramahnya, Syed Hamid berkata Malaysia memerlukan lebih ramai pemimpin muda yang mampu mengemudikan negara dengan cara yang lebih segar dan seiring dengan peredaran semasa.
Katanya, Malaysia boleh mengambil contoh pendekatan yang dibuat di luar negara yang menyaksikan banyak pemimpin muda dilahirkan untuk memimpin negara masing-masing hingga mampu maju dan berjaya.
“Pemimpin muda seperti Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, 46, dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, 40, berjaya memimpin negara mereka dengan cara tersendiri,” katanya kepada pemberita.
Syed Hamid berkata melalui gabungan pemimpin yang berpengalaman dan pemimpin muda ini, sudah pasti negara akan memiliki adunan kepimpinan yang baik dan lebih yakin bagi meneruskan dan mengekalkan kemerdekaan negara.
“Apabila kita adunkan elemen seperti pengalaman, kebijaksanaan, dan tenaga, kesemua itu adalah perkara yang amat baik sekali untuk kita kekalkan kemerdekaan kita,” katanya.
Mengulas mengenai kecenderungan generasi muda terhadap media sosial sebagai sumber maklumat, beliau berkata golongan muda ini perlu dididik dan diberitahu perkara sebenar yang sedang berlaku bagi mengelakkan mereka salah faham.
“Kita harus memuaskan kehendak masyarakat baharu…ketelusan, kepertanggungjawaban, urus tadbir baik, mereka (golongan muda) tidak suka rasuah, kita perlu memberitahu mereka sebenarnya ,” katanya.
Bagi meneruskan legasi 60 tahun merdeka dan pembinaan negara bangsa, Syed Hamid berkata ia bukan satu perkara yang mudah kerana negara telah menempuh pelbagai peristiwa, cabaran dan rintangan selepas negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment