Thursday 3 August 2017

'Awesome', kata MB...

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyifatkan kejayaan dua petugas Bernama Terengganu menerima anugerah insentif Jabatan Pengarang Bernama sebagai “äwesome”.
“Tahniah Na. Kak Na juga sampaikan ucapan tahniah. Awesome,” katanya dalam WhatsApp kepada Ketua Biro Bernama Terengganu Zalina Maizan Ngah, yang menerima anugerah wartawan Biro Bernama terbaik.
“Kak Na” ialah Toh Puan Halina Zakaria, isteri Ahmad Razif.
Jurufoto Biro Bernama Terengganu, Arjaseneh Ahmad pula memenangi kategori Jurufoto terbaik dalam pemberian insentif yang julung kali diadakan. 
“Perasaan saya terharu dan gembira kerana ia sebenarnya hasil usaha bersama gabungan antara kebaikan rakan sekerja dan kerajaan negeri yang sentiasa memberi ruang kepada Bernama dalam menghasilkan berita terbaik,” kata Zalina.
Sejurus selepas menerima hadiah itu, Zalina telah menghantar WhatsApp kepada Ahmad Razif untuk berkongsi perasaan gembira dan berterima kasih atas jasa Menteri Besar selama beliau  bertugas di negeri itu.
“Hasil kerjasama MB membolehkan saya menghasilkan berita terbaik dan mewujudkan team yang hebat bagi membawa gambaran berbeza mengenai Terengganu dalam pelbagai perkara,” katanya.
Zalina memenangi tiket penerbangan ke Tokyo, Jepun manakala Arjansneh menerima tiket penerbangan ke Cebu, Filipina, kedua-duanya tajaan Air Asia.
Syarikat penerbangan itu juga menaja empat tiket lagi manakala Bank Simpanan Nasional menyediakan Sijil Simpanan Premium bernilai RM1,500 yang diberikan dalam majlis di Wisma Bernama semalam
Zalina berkata beliau mengambil masa tiga bulan setelah mula bertugas di Terengganu tahun lepas untuk mendapat berita eksklusif dengan Ahmad Razif.
“Saya memberani diri  mendekati dia dalam satu majlis dan perkenalkan diri...pada waktu tu juga saya bagi tahu dah tiga bulan saya cuba nak interview eksklusif...lepas tu terus dapat,” katanya.
Zalina menyertai Bernama pada tahun 2002 dan ditempatkan di Meja Ekonomi dan Berita Am  selama dua tahun sebelum ke Meja Mahkamah selama 12 tahun sebelum bertukar ke Terengganu.

No comments:

Post a Comment