Saturday 12 August 2017

Risau mendapatkan diesel...

Lapan peserta Kembara Inspirasi Haji (KIH) pagi ini bergerak dari Tashkent menuju Samarkand, menyusuri perjalanan yang pernah menjadi sebahagian daripada laluan sutera, untuk meneruskan misi  ke Tanah Suci. 
Dua kenderaan pacuan empat roda KIH itu meninggalkan ibu negara Uzbekistan pada kira-kira pukul 6.30 pagi (waktu tempatan) untuk perjalanan sejauh 320km ke Samarkand. Waktu di sana tiga jam di belakang Malaysia.
Rahman di Kompleks alQuran, Tashkent
“Kami akan terus ke Bukhara sejauh 300km lagi (dari Samarkand),” kata Ketua Editor Tugasan Bernama News Channel (BNC) Abdul Rahman Ahmad melalui whatsapp pagi ini.
Mereka mengejar masa untuk sampai ke sempadan kerana visa memasuki Uzbekistan akan tamat tempoh tengah malam esok.
Para peserta itu dijangka memasuki Turkmenistan esok.
Semasa di Tashkent, Rahman melaporkan bahawa mereka menghadapi masalah untuk meneruskan perjalanan yang masih berbaki beratus kilometer  di wilayah itu kerana ketiadaan bekalan diesel  untuk menampung keperluan kedua-dua kenderaan tersebut.
"Tak banyak stesen jual diesel sebab kenderaan guna gas dan petrol...gasoline ada tapi diesel tak ada sebab only truckers and lorries guna diesel," katanya.
Sejak tiba di Uzbekistan tiga hari lepas, peserta kembara cuba mendapatkan bekalan bahan api itu dari satu stesen minyak ke satu satu stesen minyak namun hampa.
Setiap stesen minyak yang dikunjungi menyatakan ketiadaan diesel berikutan bekalannya yang terhad di negara itu.
Mahu tidak mahu  mereka terpaksa menggunakan bekalan minyak yang dibawa bersama semasa memasuki negara ini.
“Kita akan cari sedaya upaya agar bekalan diesel dapat diperolehi untuk kegunaan kedua-dua kenderaan kita,” kata Pengarah Projek Kembara Inspirasi Haji Khir Ariffin.
Selain masalah bekalan diesel, semalam  sebuah kenderaan kembara terpaksa dibawa ke bengkel bagi membaiki palang penyokong rak bumbungnya yang rosak sejak memasuki negara ini.  
Menurut  mekanik kembara, Muhamad Shahuri Zainuddin, palang itu patah akibat gegaran kuat setiap kali kenderaan pacuan empat roda tersebut melalui jalan yang berlubang dan berlopak.
“Kita perlu baikinya jika tidak ia boleh roboh dan membawa masalah kepada barang-barang yang disimpan di  atas rak itu,” katanya di bengkel tersebut di Chilanzar di daerah  Shurhat dalam wilayah Tashkent pada Jumaat.
Rak itu digunakan untuk meletakkan barangan keperluan seperti tong gas mini, tong diesel, tayar ganti dan beberapa barangan kecil lain.
Setakat ini kembara inspirasi haji itu telah melakukan hampir 11,000 kilometer perjalanan merentasi Thailand, Laos, China dan Kyrgyzstan. Mereka akan meneruskan baki perjalanan 5,000 kilometer lagi melalui negara ini, Turkmenistan, Iran dan Dubai sebelum ke Makkah untuk menunaikan haji.
Foto: Facebook KIH
Dalam posting malam ini menerusi akaun Facebook KIH, masalah itu turut dinyatakan dengan catatan: "Di Uzbekistan, hampir tiada jualan minyak diesel".
"MasyaAllah, satu dugaan untuk dapatkan supply minyak diesel. Alhamdulillah dapat sikit-sikit ehsan dari driver lori/bas yang jual kepada kami minyak diesel mereka yang juga dicatu.
Ini kerana di negara ini, tiada kenderaan persendirian yang gunakan diesel. Majoriti menggunakan gas (metanol atau CNG ) dan selebihnya petrol. 
Foto: Facebook KIH
Yang pakai diesel hanya sebahagian kecil lori/bas lama. Kebanyakan bas dan lori baru juga gunakan natural gas sebagai bahan api.
So, dari satu stesen ke stesen kami pergi namun tiada stok. Malah, petrol juga hanya dijual di beberapa stesen terpilih di kawasan bandar.
Alhamdulillah rezeki musafir, team sahabat-sahabat kami di Uzbekistan berjaya mendapatkan ihsan dari beberapa pemilik bas/lori dalam perjalanan untnk mendapatkan stok diesel dalam jumlah agak terhad."
-- BERNAMA/KIH


No comments:

Post a Comment