Thursday 31 August 2017

Peserta Kembara Haji berwukuf di Arafah...

Daripada Abdul Rahman Ahmad di Makkah

Selepas bermusafir lebih 40 hari meninggalkan Malaysia dengan dua buah kenderaan pacuan empat roda, lapan anggota peserta Kembara Inspirasi Haji  yang tiba di Tanah Suci pada Isnin kini berwukuf di Arafah bersama-sama dengan hampir dua juta jemaah haji dari seluruh pelosok dunia.
Peserta kembara itu termasuk dua petugas Bernama News Channel (BNC) sebelum ini melalui pengembaraan sejauh 14,700 kilometer merentasi lapan buah negara.
Mereka berdepan cabaran terkandas selama seminggu di Dubai setelah gagal mendapatkan visa haji namun itu tidak dapat menghalang hasrat mereka menunaikan ibadah haji tahun ini.
Semua peserta kembara itu tiba di Padang Arafah malam tadi secara berperingkat tanpa sebarang masalah pengangkutan.
Di Arafah, peserta kembara dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pertama diketuai Pengarah Projek Khir Ariffin ditempatkan di khemah jemaah dari Filipina manakala satu lagi kumpulan bersama jemaah haji dari Indonesia.
Menurut Penyelia Khemah jemaah haji Indonesia Ustaz Fairuz Abady Firdaus, peserta kembara terpaksa diletakkan di khemah jemaah haji Indonesia dan Filipina kerana mereka bukan kalangan jemaah Tabung Haji.
​​​​​​​​​​​​​​"Mereka juga dipisahkan kerana kedua-dua khemah itu hanya boleh menampung bilangan jemaah yang telah ditetapkan," katanya ketika diminta memberi penjelasan sebab peserta kembara terpaksa dipisahkan kepada dua kumpulan.
​​​​Bagi Khir pula, mereka redha dan bersyukur diletakkan di khemah jemaah Filipina dan sekadar berkata:  "Yang penting kita ada tempat tinggal bagi membolehkan kita berwukuf”.
Di khemah jemaah Indonesia, seorang peserta kembara, Muhammad Shahuri Zainuddin berpeluang melaungkan azan subuh di satu daripada khemah itu sebelum mereka menunaikan solat subuh berjemaah dan mengikuti kuliah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Baharin Zainal Abidin.
Terdahulu, ketika berada di tempat transit jemaah haji sebelum ke Padang Arafah, Muhammad Shahuri dan seorang lagi peserta Mohd Izam Mohd Nor sempat mengagihkan ubat-ubatan seperti ubat sakit kaki kepada jemaah haji yang berada berhampiran mereka.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment