Kerisauan anggota Kembara Inspirasi Haji mengenai layanan rakyat Iran terhadap mereka apabila tiba di negara ini dua hari lepas nyata tidak berasas apabila rata-rata penduduk yang ditemui di jalanan memberikan layanan baik, sekalipun berbeza fahaman agama.
“Orang Iran memang suka warga Malaysia. Iran adalah negara yang disalah faham oleh kebanyakan negara,” kata Duta Malaysia ke Iran Datuk Rustam Yahaya kepada anggota kembara yang melakukan kunjungan ke atas beliau hari ini.
Beliau berkata amnya setiap kali bertemu dengan orang Malaysia, rakyat Iran tidak pernah melepaskan peluang bertanyakan tentang Malaysia.
Pengarah projek, Khir Ariffin, yang mengetuai peserta kembara, sebelum itu berkata mereka mulanya risau untuk memasuki negara ini kerana khuatirkan penerimaan warga Iran yang berpegang pada fahaman syiah.
Bagaimanapun persepsi buruk mereka terhadap warga Iran terhakis menerusi pengalaman manis berurusan dengan rakyat negara ini setiap kali peserta kembara berhenti rehat di sepanjang perjalanan dari pintu masuk Bajgiran pada Selasa.
“Mula-mula nak masuk Iran kami rasa takut, tetapi setiap kali kita berhenti rehat mereka akan menyapa kita dengan mesra dan baik serta mahu tahu lebih lanjut mengenai pengembaraan kami. Sejak itu perasaan takut sudah hilang,” kata Khir.
Menurut Rustam, sekalipun berfahaman syiah, rakyat Iran tidak ambil peduli terhadap umat Islam Malaysia yang berfahaman sunni.
Beliau memberi contoh bilangan rakyat Iran yang melancong ke Malaysia tahun lepas mencecah 100,000 orang berbanding pelawat Malaysia ke negara ini yang hanya sekitar 1,000 orang setahun.
Selain itu, terdapat kira-kira 5,000 warga Iran sedang belajar di institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia, katanya.
Beliau juga yakin lebih ramai warga Iran akan mengunjungi Malaysia sekiranya Tourism Malaysia membuka pejabatnya di negara ini yang setakat ini hanya menempatkan seorang pegawai pemasaran warga Iran yang berpejabat di Dubai.
“Kira-kira tujuh juta warga Iran melancong ke Turki setiap tahun dan jika kita dapat menarik 10 peratus daripada jumlah itu ke Malaysia, ia dianggap sudah memadai. Iran mempunyai potensi pasaran… untuk ke Turki seorang warga Iran cuma membelanjakan US$400 sedangkan ke Malaysia US$500, tidak banyak bezanya,” kata Rustam.
Selain mesra, beliau berkata warga Iran juga amat suka menggunakan barangan keluaran Malaysia yang kebanyakannya dibawa masuk secara tidak sah ke negara ini.
Selain mesra, beliau berkata warga Iran juga amat suka menggunakan barangan keluaran Malaysia yang kebanyakannya dibawa masuk secara tidak sah ke negara ini.
“Antara barangan Malaysia ialah sos cili, burger, Nescafe Tarik dan tongkat ali yang banyak dijual di kedai-kedai di sini tetapi harganya mahal sebab dibawa masuk secara tidak sah,” katanya.
Beliau menggesa syarikat Malaysia agar meneroka peluang perniagaan di negara ini yang telahpun ditarik balik sekatan ekonominya kecuali dalam sektor perbankan.
Katanya pada masa ini terdapat 45 rakyat Malaysia di Iran merangkumi staf kedutaan dan pelajar Malaysia serta keluarga mereka yang melanjutkan pengajian di Qoms, kira-kira 150 kilometer dari sini.
Dalam kunjungan ke pejabat Kedutaan Malaysia itu, Khir turut memberi penerangan mengenai pengembaraan lebih 13,000 kilometer yang telah mereka lalui setakat ini kepada Rustam sejak memulakan perjalanan pada 18 Julai lalu.
Dari Tehran, mereka akan meneruskan perjalanan ke Dubai untuk menaiki kapal terbang ke Jeddah bagi melengkapkan kembara ke Tanah Suci.
Dari Tehran, mereka akan meneruskan perjalanan ke Dubai untuk menaiki kapal terbang ke Jeddah bagi melengkapkan kembara ke Tanah Suci.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment