Sinergi media dalam kempen WORLD#QuranHour dan MERDEKA#QuranHour telah mencetuskan momentum luar biasa apabila menyaksikan peningkatan empat kali ganda jumlah penonton program itu di media sosial, hanya dalam tempoh beberapa bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff berkata peningkatan itu jelas membuktikan peranan besar media yang membantu menyebarluaskan kempen program tahunan itu kepada seluruh masyarakat.
"Pada Ramadan lepas kita dapat capai (penonton) hasil di sosial media, sekitar 46.8 juta tetapi hari ini kita tengok di monitor ada lebih 160 juta. Tahun ini momentum luar biasa sebab ada gabungan dengan media. Bayangkan kalau bukan setakat media, tetapi semua orang bergabung,” katanya kepada pemberita selepas program Tea Talk Quran Hour: Interaksi Surah Yasin dan Kemerdekaan di Wisma Bernama hari ini.
Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang, Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Datuk Hussamuddin Yaacub.
Marhaini berkata susulan fenomena positif itu, pihaknya menyasarkan peningkatan jumlah peserta program daripada 10 juta orang kepada 100 juta di 3,000 lokasi seluruh dunia berbanding 2,000 lokasi sebelum ini.
Datuk Hussamuddin |
"Kita merasakan perlu gabung semua. Semua media seolah-olah jadi penganjur bersama. Kita bersinergi untuk menggerakkan kempen ini. Gunakan melalui tulisan atau apa sahaja untuk menyeru,” katanya dan menambah kata perbezaan politik perlu diketepikan untuk menjayakan kempen berskala besar.
"Pegawai agama di (seluruh negeri) perlu bekerjasama untuk menjayakan program ini. Ini bukan (program) politik tetapi ini untuk bantu ummah, kita galakkan penganjuran program dan harus permudahkan,” tegasnya.
Mengulas penganjuran program itu di Bernama hari ini, Azman berkata Bernama menggalas tanggungjawab untuk berkongsi dan menggunakan segala platform yang ada bagi membantu menggerakkan kempen.
“Äpa jua yang kita lakukan adalah tanggungjawab bersama, perpaduan. Kita tidak bersaing, kita sama-sama perkasakan bagi menyebarluaskan lagi kempen yang sudah mencapai satu tahap di luar dugaan,” katanya.
WORLD #QuranHour akan berlangsung pada 31 Ogos di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sebagai lokasi perdana pada pukul 11.30 pagi hingga 1 petang.
Kempen berinteraksi dengan al-Quran, bertemakan ‘Dunia Berbudi dan Penyayang’ diadakan secara serentak di seluruh dunia dengan majlis pelancaran disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Padang Arafah, Makkah.
Pada sebelah petang, program MERDEKA#QuranHour di Dataran Merdeka akan bermula dengan Gema Wahyu pada 5 petang, diikuti Gema Takbir dan acara kemuncaknya pukul 8.30 malam yang menghimpunkan qari dalam dan luar negara serta selebriti memperdengarkan bacaan surah Yasin, sesi tadabbur, tazakkur serta doa untuk Malaysia.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment