Thursday 30 March 2017

Program 'Fit Bernama' untuk gaya hidup sihat...

Kejayaan penganjuran dua siri program 'The Biggest Loser' anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita), menjadi pemangkin bagi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat.
Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh berkata Benita akan bekerjasama dengan Kelab Kakitangan Bernama (KKB) untuk menganjurkan satu program baharu iaitu 'Fit Bernama' mulai Julai ini yang bakal memanfaatkan lebih ramai kakitangan agensi itu.
"Program sebegini sangat bagus kerana membantu kakitangan Bernama untuk menjalani gaya hidup sihat dan mengamalkan diet yang betul. Amalan gaya hidup sihat ini juga dapat membantu melahirkan warga kerja yang lebih produktif.
"Dalam etika perkhidmatan, menjaga kesihatan juga satu daripada tanggungjawab kita. Tahniah kepada Benita yang telah menganjurkan program ini dan saya mengalu-alukan kerjasama Benita dan Kelab Kakitangan Bernama untuk menganjurkan program Fit Bernama selepas ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan program 'Biggest Loser' Sihat Bergaya 2016 di Wisma Bernama hari ini.
Pengerusi Benita Datin Rohana Mustaffa berkata program Fit Bernama akan turut memberi peluang kepada kakitangan lelaki untuk menyertainya.
"Program sebelum ini hanya terbuka untuk wanita, tetapi selepas mendapat permintaan daripada kakitangan lelaki, kami bersetuju untuk melaksanakan program Fit Bernama," kata Rohana yang juga Ketua Penyunting, Meja Penyuntingan Bahasa Melayu, Perkhidmatan Berita Dalam Negeri.
"Program The Biggest Loser disertai 40 ahli dan selama enam bulan mereka dikehendaki hadir ke sesi senaman dua kali seminggu selama satu jam setiap sesi, ceramah kesihatan, kursus dandanan serta dilatih untuk memilih makanan yang sihat," katanya.
Rohana berkata program tersebut dikendalikan pakar Mysihat dan Hospital Pakar KPJ Sentosa.
Pada majlis itu, kakitangan Pusat Kecemerlangan Bernama, Nur Syazwani Zainudin, 24, muncul juara apabila mencatatkan penurunan berat badan dan ukur lilit terbanyak.
"Alhamdulillah, saya berjaya menurunkan berat badan hingga 10 kilogram dalam masa enam bulan dengan mengikuti program ini dan saya juga mengurangkan ukur lilit badan daripada 100 sentimeter kepada 80sm.
"Walaupun sibuk dengan tugas, saya cuba mendisiplinkan diri dengan menyertai program ini dan Alhamdulillah sekarang saya rasa lebih sihat," katanya yang memenangi piala, tiket penerbangan dan peralatan sukan.
-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment