Hari Wartawan Nasional, yang disambut buat julung kalinya tahun ini, mendapat identiti tambahan dengan pengenalan nama ringkasnya -- HAWANA.
Nama itu dikemukakan Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh selaku pengerusi jawatankuasa induk sambutan pada mesyuarat penyelarasan kali kedua di Wisma Bernama petang ini.
Serentak dengan cadangan memberikan anugerah sempena sambutan itu, jawatankuasa bersetuju menamakannya sebagai Anugerah HAWANA 2017 untuk organisasi media yang cemerlang dalam sumbangannya terhadap pembangunan negara.
Anugerah penghargaan khas bagi individu yang berjasa dalam bidang kewartawanan juga dicadangkan.
Mesyuarat juga bersetuju untuk mengesyorkan lokasi sambutan diadakan di sekitar ibu negara daripada cadangan asal sama ada di Perak, Pahang atau Terengganu.
Pertimbangan ini antara lain mengambilkira soal logistik serta kelapangan para peserta yang dijangka mencecah 3,000 orang menghadiri sepenuhnya sambutan selama tiga hari itu.
Tarikh HAWANA 2017 belum dimuktamadkan tetapi telah dipastikan untuk diadakan antara 31 Ogos hingga 16 September 2017.
Ini bersesuaian dengan sambutan bulan kemerdekaan bagi melonjakkan peranan dan kehebatan media dalam kemerdekaan serta pembentukan negara bangsa.
Seminar yang memberi fokus kepada isu 'berita palsu' yang kini berleluasa (fake news atau hoax news) juga dicadang dengan menghasilkan deklarasi bersama untuk membendung gejala itu.
No comments:
Post a Comment