Program 'Kabar Merah Putih' terbitan Bernama Radio memasuki musim keempat tahun ini dengan menyasarkan peningkatan kepada 45 peratus pendengar warga Indonesia daripada keseluruhan 550,000 pendengar siaran radio tersebut.
Program berkenaan bersiaran setiap Sabtu bermula 6 petang hingga 9 malam dan diterajui dua penyampai warga Indonesia.
Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh berkata peningkatan sasaran berbanding 25 peratus pendengar tahun lepas itu mampu dicapai menerusi pelbagai segmen baharu serta pengisian yang lebih menarik buat warga Indonesia.
"Kabar Merah Putih ini telah memberi kesempatan kepada warga Indonesia di negara ini mendapat informasi dan sedikit hiburan kerana apabila di negara orang, kita selalu teringatkan kampung halaman dan mudah-mudahan melalui program ini akan terubat rindu mereka.
"Malah program ini juga menjadi platform untuk mereka lebih memahami peraturan dan undang-undang di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) program tersebut bagi musim keempat antara Bernama dan Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia yang diwakili Timbalan Duta Besar Indonesia ke Malaysia Andreano Erwin di kedutaan negara itu di Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, Andreano berharap program yang dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Indonesia itu dapat diperluaskan ke saluran rangkaian perkhidmatan Bernama yang lain agar mampu menjangkau lebih ramai pendengar.
"Bernama mempunyai pelbagai rangkaian media dan kami harap boleh menggunakan lebih banyak platform untuk mendekati rakyat Indonesia di sini dalam mendapatkan lebih informasi mengenai apa yang berlaku di negara asal mereka selain mengeratkan lagi silaturahim rakyat kedua-dua negara," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment