Thursday 16 March 2017

Bernama, MITA jalin kerjasama promosi produk pelancongan negara...

Foto Bernama
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mempromosikan produk  pelancongan negara.
Presiden MITA Uzaidi Udanis berkata produk pelancongan tempatan seperti destinasi popular, kedai makan, operator pelancongan dan syarikat berkaitan dengan MITA akan diperkenalkan sehingga peringkat antarabangsa.
"Sepanjang 13 tahun penubuhan MITA, MoU kali ini dianggap bersejarah kerana ini adalah pertama kali kami menjalankan kerjasama dengan platform media arus perdana seperti Bernama dalam memperkenalkan produk pelancongan tempatan kepada pelancong luar negara.
"Usaha itu bakal dilakukan menerusi sebuah program berdurasi 10 minit dikenali sebagai '#vacay' yang akan diselitkan dalam satu daripada program di Bernama News Channel (BNC) mulai 3 April ini.
"Program #vacay yang berkonsepkan bual bicara akan bersiaran pada 9 pagi hingga 11 pagi setiap hari Isnin hingga Jumaat.
"Perkara berkaitan perniagaan pelancongan, destinasi dan pakej pelancongan dan perbincangan isu-isu semasa berkaitan pelancongan dalam negara akan ditampilkan dalam #vacay," katanya kepada Bernama selepas majlis pemeteraian MoU itu di Wisma Bernama. 
MoU itu ditandatangani oleh Uzaidi dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan
Berita Ekonomi Bernama Mikhail Raj Abdullah. Turut hadir Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab dan wakil-wakil penggiat industri pelancongan.
Uzaidi berkata BNC juga akan menjadi platform publisiti utama dalam memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai segala aktiviti yang dijalankan MITA yang kini mempunyai 1,500 anggota di seluruh Malaysia.
Sementara itu, Mikhail Raj berkata langkah MITA dalam menjalinkan kerjasama dengan Bernama adalah tindakan terbaik memandangkan Bernama menawarkan rangkaian perkhidmatan meluas termasuklah menjadi media berita antarabangsa kepada lebih 126 pelanggan media.
"Melalui kerjasama ini, diharapkan agar usaha mempromosikan industri pelancongan dalam negara dapat dipergiatkan oleh pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak media yang lain," katanya.
-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment