Thursday 2 March 2017

Bernama ikrar perangi rasuah...


Para pegawai kanan Bernama akan mengangkat sumpah untuk menyatakan ikrar bagi memerangi rasuah.
Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh berkata usaha itu selaras tanggungjawab dan peranan Bernama untuk membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membanteras gejala itu.
Beliau berharap SPRM dapat menganjurkan acara ikrar itu di Bernama nanti.
Datuk Zulkefli menyatakan demikian dalam kata-kata aluan pada majlis taklimat bertajuk "Integriti, Rasuah dan Natijahnya" yang disampaikan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Abdul Samat Kasah di Pusat Kecemerlangan Bernama hari ini.
Takrif serta proses berlaku rasuah merupakan antara perkara yang diterangkan oleh Abdul Samat dalam taklimat selama dua jam itu.
Beliau turut menghuraikan mengenai sikap ibubapa yang tanpa sedar menyemai budaya rasuah di kalangan anak-anak sehingga mereka terdedah kepada amalan itu apabila tamat pengajian dan memasuki alam pekerjaan.
Baru semalam beliau telah mencadangkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh langkah-langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah itu dari peringkat institusi pengajian tinggi.
Foto Bernama
"Apabila anak-anak ambil peperiksaan (peringkat sekolah rendah) kita janjikan satu A, RM10 so anak-anak kerja keras dan kita tak tengok pun cara dia belajar tetapi selalu kita ingatkan 1A, RM10.
"Bila mereka dapat 5A, kita beri RM50 dan letak posting dalam Facebook -- RM50 tak berat sangat.
"Masuk tingkatan 3, takkan RM10, naik RM50...so anak-anak pun belajar, akhirnya dapat 8A dan kita pun buat posting kopak RM400.
"Lepas tu naik pulak tingkatan 5, nak offer RM50, anak kata dah lah kena belajar susah-susah takkan RM50, so kita tawarkan RM100 dan bila keluar keputusan kita tulis posting kopak RM800 tapi  tak lah berapa riak sangat.
"Lepas tu, apabila masuk universiti anak-anak pun minta ikut CGPA -- 3.41 maknanya RM3,400," katanya disambut senyuman hadirin.
Bercakap kepada pemberita kemudian, beliau berkata SPRM sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkenalkan modul integriti dan pencegahan rasuah dalam kurikulum pendidikan di institusi pengajian tinggi.
Langkah itu merupakan usaha SPRM untuk mendidik pelajar mengenai nilai integriti selain mengekang jenayah rasuah pada semua peringkat.
"Kami sedang bekerjasama dengan jawatankuasa kurikulum dan naib canselor di empat universiti awam terpilih untuk memasukkan dan memperkemaskan lagi elemen integriti dan anti rasuah dalam sistem pemarkahan mereka.
"Projek perintis ini juga melibatkan program persediaan kepada pelajar yang bakal melangkah ke alam pekerjaan untuk mengenal pasti cabaran dan elemen rasuah yang akan wujud apabila mereka mula bekerja nanti," kata Abdul Samat yang telah berkhidmat selama 22 tahun dengan SPRM.
Katanya tahun lepas SPRM berjaya memasukkan elemen pencegahan rasuah dalam buku teks mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral bagi murid tahun enam selepas bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan sejak 2011.
Beliau berkata elemen yang sama juga dimasukkan dalam buku teks bagi pelajar tingkatan satu pada tahun ini dan tingkatan empat tahun depan.
"Langkah ini membolehkan pelajar mengetahui maksud rasuah, perbuatan-perbuatan yang menjadi kesalahan rasuah, dan kesan pencegahan serta nilai-nilai murni yang dapat mencegah diri daripada perbuatan rasuah," katanya.
Ditanya mengenai kesedaran rasuah dalam kalangan pelajar, beliau berkata kajian Universiti Kebangsaan Malayasia terhadap kesanggupan pelajar untuk melakukan rasuah ketika mempunyai kerjaya telah menurun kepada 10 peratus pada tahun lepas berbanding 30 peratus pada 2003.
"Memang ada penurunan ... tetapi harapan dan hasrat kita adalah tolerasi sifar terhadap rasuah dan pelbagai usaha kita sedang usahakan untuk mencapai tahap itu," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment