Monday 27 March 2017

Bernama, Antara setuju promosi 60 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia

Meidyatama
Suryodiningrat
Bernama dan Antara bersetuju untuk bekerjasama dalam mempromosi sambutan 60 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia yang diadakan tahun ini.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan para pemimpin Bernama dan Antara sempena Malam Media Malaysia-Indonesia yang berlangsung di Jakarta, Jumaat lepas.
Delegasi Bernama terdiri daripada Pengerusi Datuk Seri Azman Ujang, Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab dan Pengarah Operasi Bernama News Channel (BNC) Hakimi Zuffrida Mohd Zain.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama System and Solutions Advisor (Bessar) Muniyati Mohamed serta pewarta Bernama Jakarta Azeman Ariffin turut serta.
Antara diwakili Direktur Utama Meidyatama Suryodiningrat yang telah dilantik oleh Presiden Joko Widodo untuk mengetuai agensi berita nasional Indonesia itu Januari tahun lepas.
Sempena 60 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia, Meidyatama menyarankan agar Bernama menerbitkan artikel mengenai pencapaian sepanjang hubungan diplomatik itu dijalinkan, kata Datuk Zakaria pada mesyuarat penyelarasan mingguan Bernama hari ini.
Pencapaian ini mengambilkira dari segi sejarah, hubungan antara rakyat, pemimpin serta juga hubungan Bernama-Antara.
Katanya, Antara juga menyarankan agar Bernama menerbitkan  dokumentari yang boleh digunakan bersama untuk mempromosi hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia.
Pada malam itu, Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia, Rudiantara yang menjadi tetamu kehormat serta Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menyatakan mengenai hubungan baik antara Indonesia dan Malaysia serta hubungan akrab Antara dan Bernama.
Malam Media Malaysia-Indonesia 2017 anjuran Kedutaan Besar Malaysia itu merupakan malam peringatan 60 tahun kerjasama diplomatik antara Indonesia-Malaysia.
Pada malam itu, pihak kedutaan menayangkan klip video mengenai hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Datuk Zakaria berkata perbincangan itu juga menampakkan potensi pihak Antara meminta Bessar, anak syarikat Bernama, membantu meningkatkan penggunaan teknologi dalam sistem editorial mereka.
Bessar mungkin membuat kunjungan susulan untuk menerangkan mengenai teknologi editorial yang dibangunkannya untuk Bernama.
  

No comments:

Post a Comment