Thursday 2 March 2017

Jins Shamsuddin insan luar biasa, kata Letfee...

Seniman negara Tan Sri Jins Shamsuddin adalah insan yang luar biasa bagi Editor Berita Bernama News Channel (BNC) Letfee Ahmad.
Daripada seorang yang menjadi pelakon idolanya semasa sekolah, beliau tidak menyangka akan berpeluang bekerja bersama dengan Allahyarham Jins Shamsuddin. 
"Ketika itu dalam Gafim (Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia) yang diketuainya dan saya sebagai setiausaha agung mewakili persatuan penulis skrip Malaysia.
"Saya sempat bersama arwah menganjurkan Festival Filem Malaysia ke-14 pada 1998," katanya mengimbau kenangan bersama Jins Shamsuddin, yang meninggal dunia pada usia 81 tahun ketika hendak mendapat rawatan di sebuah klinik di Taman Melawati di ibu negara semalam.
Menurutnya, Allahyarham seorang yang tegas dan amat berdisiplin.
"Kalau mesyuarat mula pukul 9 pagi, janganlah datang 9 satu minit...walaupun beliau tidak tegur tapi pandangan matanya cukup untuk menyatakan perasaannya," kata Letfee.
Beliau tidak akan lupa satu ketika semasa mereka bermesyuarat mengenai festival itu di pejabat Gafim di Lot 1045 tidak jauh dari Zoo Negara di Hulu Klang.
"Arwah bertanya saya sama ada saya makan petai dan ikan masin, saya kata 'makan' dan dia minta saya tunggu kerana dia kata dia akan pulang untuk meminta isterinya memasak.
"Beliau kemudian datang ke pejabat dan membawa makanan yang disediakan oleh isterinya,...ikan kering, petai dan kalau tak silap ada gulai nangka dibawa," katanya.
"Kami makan bersama dan apabila saya beritahu kepada arwah Datuk Mustapha Maarof, beliau berkata saya sangat beruntung kerana selama beliau bersahabat dengan arwah Jins Shamsuddin dari zaman berlakon di Singapura, tidak pernah dipelawa makan nasi bersama.
"Ketika itu barulah saya tahu arwah Jins Shamsuddin tidak makan nasi dan makanan kegemarannya ialah pisang," katanya.
Beliau juga kagum dengan sikap Allahyarham Jins Shamsuddin yang menyimpan 
segala dokumen, surat-menyurat dan kertas seminar yang dihadirinya dengan teliti. 
"Satu hari, dia bawa saya ke satu tempat yang jarang orang ikut...dia buka bilik dan meminta saya melihat apa yang saya mahu dan dia meninggalkan saya untuk meneruskan kerjanya.
"Saya membuka fail dan terbaca sepucuk surat lama yang dihantar kepadanya oleh sebuah persatuan belia Singapura mengucapkan terima kasih kepadanya kerana merasmikan kejohanan sepak takraw mereka," katanya.
"Saya kagum kerana beliau masih menyimpan surat itu walaupun telah lama berpindah dari Singapura," katanya.
Dalam bilik itu juga tersusun banyak beg seminar mengandungi kertas kerja serta pen, topi dan tali leher yang diterimanya sebagai cenderahati.
"Kalau nak buat muzium, anda hanya perlu menambah koleksi terkini untuk jadikan muzium Jins Shamsuddin," katanya.
"Saya begitu terkejut kerana tak ramai bintang filem yang menyimpan skrip-skrip filem dari zaman lakonan di Singapura.
"Beliau juga menyimpan pelbagai jenis kamera yang dikumpulnya kerana hobi mengambil gambar," katanya.
Letfee berkata ciri kepimpinan Allahyarham amat terserlah kerana pernah menjadi pemimpin kesatuan di kalangan karyawan filem semasa di Singapura. 
"Malahan saya belajar menulis minit mesyuarat dengan betul daripada Allahyarham semasa bersamanya dalam Gafim," katanya.
Semasa dalam Gafim, Letfee juga masih ingat cadangan dikemukakan kepada kerajaan agar menawarkan kedudukan senator bagi mewakili karyawan seni.
"Saya rasa kertas-kerja perkara itu dia ada simpan, sayangnya saya tidak simpan walaupun saya yang menaipnya," kata Letfee.
Ketika mula-mula bermesyuarat dalam Gafim, Letfee berasa gelisah juga untuk berdepan dengan Allahyarham.
"Dalam hati, saya bertanya bolehkah saya bekerja dengan seorang yang menjadi idola saya..Filem Si Tanggang lakonannya cukup terkesan kepada saya kerana lepas keluar panggung saya rasa kita semacam Si Tanggang moden yang susah nak balik kampung," katanya.
"Saya beruntung belajar daripada Allahyarham….minit mesyuarat kalau boleh, dia nak tengok keesokannya..minit mesyuarat kepada dia adalah KPI yang mesti disiapkan dalam masa 24 jam...dia ajar saya cara buat minit," katanya. 
Arwah Jins Shamsuddin juga mementingkan persahabatan.
"Antara orang pertama yang saya jemput ke (Bernama) Radio 24 setelah saya masuk bekerja pada 2008 ialah dia....Dia datang untuk ruangan Kerusi Panas untuk bercakap mengenai industri filem.
"Bukan sekali tapi selepas itu saya buat cross over termasuk ketika ada berita mengatakan dia meninggal dunia...dia bercakap untuk cross over itu," katanya.

Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Hulu Klang pada kira-kira pukul 10.30 pagi.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila lebih ratusan anggota keluarga, rakan artis dan penggiat seni tanah air memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri.
Jins Shamsuddin atau nama sebenar Mohamed Jins bin Shamsuddin, diberi penghormatan tinggi oleh kerajaan apabila beliau dilantik menjadi Senator, selama dua penggal mulai 2004 hingga 2011, sebagai mewakili komuniti perfileman -- pelakon filem yang pertama mendapat status tersebut.
Allahyarham yang dilahirkan di Taiping, Perak, turut dianugerah gelaran Seniman Negara oleh kerajaan pada 2009 atas sumbangannya pada kemajuan industri filem negara.

No comments:

Post a Comment