Wednesday 8 March 2017

'Kotak merpati' ikon yang dilupakan...

Burung merpati sering dikaitkan dengan komunikasi awal manusia. 
Besarnya pengaruh merpati dalam perhubungan manusia juga diiktiraf sehingga pernah menjadi logo Pos Malaysia.
Di satu sudut di sebelah tepi di luar bangunan Wisma Bernama, terdapat sebuah struktur berbentuk kotak diperbuat daripada aluminium yang dikenali sebagai pigeonhole (secara hurufiah 'kotak merpati') 
Bagi orang lama, struktur yang mempunyai petak-petak dilengkapi kunci itu bukanlah sesuatu yang asing.
Tetapi bagi petugas muda serta pelawat ke Wisma Bernama yang berpeluang melihatnya, 'legasi' struktur itu mungkin tidak ketahui. 
Pigeonhole itu merupakan ikon Jabatan Penerangan satu ketika dahulu yang digunakan untuk mengedarkan kenyataan akhbar serta makluman kepada pihak media.
Bahagian Akhbar jabatan itu memainkan peranan utama mengeluar dan mengedarkan kenyataan akhbar termasuk nota kepada pengarang akhbar.
Kenyataan-kenyataan itu dimasukkan dalam petak-petak berkenaan yang ditujukan kepada setiap pertubuhan media yang berdaftar dengan jabatan itu.
Ada kalanya teks ucapan diedarkan melalui kaedah itu untuk dikutip oleh para pekerja syarikat media dan dibawa balik ke pejabat bagi diproses.
Pentingnya pigeonhole ketika itu ialah kerana ia antara saluran penghubung utama  jabatan kerajaan dengan pihak akhbar termasuk agensi berita dari luar negara yang mempunyai biro di Kuala Lumpur. 
Selain makluman dan kenyataan akhbar, ada juga foto acara rasmi yang dirakam oleh jurufoto jabatan itu diedarkan kepada pihak media menerusi pigeonhole.
Sesetengah acara atau majlis rasmi kerajaan hanya boleh dibuat liputan oleh Jabatan Penerangan manakala pihak akhbar tidak dibenarkan masuk.
Kerana itulah ia bertanggungjawab mengedarkan foto berkenaan kepada pihak akhbar.
Jabatan Penerangan pernah beroperasi di Jalan Tun Perak sebelum ia menyewa beberapa tingkat di Wisma Bernama.
Setelah berpindah, konsep pigeonhole dibawa ke Wisma Bernama dan ditempatkan di tingkat bawah di luar bangunan dengan struktur yang lebih menarik diperbuat daripada aluminium.
Apabila jabatan itu berpindah ke Wisma Sime Darby di Jalan Raja Laut, pigeonhole tersebut tidak lagi digunakan dan terbiar hingga kini.
Dengan perkembangan teknologi, kaedah pigeonhole seolah-olah ketinggalan masa dan tidak lagi menjadi keutamaan.




No comments:

Post a Comment