Saturday 18 March 2017

Kunjungan PM bawa keceriaan...

Kunjungan Perdana Menteri ke ruang pameran Bernama semasa program 'Ekspresi Negaraku' di Dataran Putrajaya hari ini membawa keceriaan kepada para petugas Bernama.
"Kami bangga dengan kehadiran PM dan isteri di booth Bernama kerana bukan mudah untuk dapat peluang sebegitu," kata Pengurus Pemasaran Foto Mohd Farhan Mustafa.
Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh menghadiahkan buku bergambar Yang di-Pertuan Agong XIII Tuanku Mizan Zainal Abidin mengandungi foto-foto Bernama kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sebelum itu melancarkan program tersebut.
Buku itu juga dihadiahkan kepada para pengunjung yang dapat menyusun atur logo Bernama dengan tepat dalam masa yang ditetapkan.
"Kami berjaya memperkenalkan produk Bernama kepada pelanggan berpotensi...ramai terkejut bahawa Bernama mempunyai perkhidmatan seperti penerbitan dan pembangunan pameran," kata Farhan.  
Ketika melancarkan program "Ekspresi Negaraku" itu, Perdana Menteri meniup semangat patriotisme ribuan hadirin dengan laungan "Negaraku" sebanyak tiga kali dan disahut "Malaysia, Malaysia, Malaysia".
Dalam ucapannya yang sarat dengan ungkapan patriotisme, beliau berkata kehadiran ke Ekspresi Negaraku adalah untuk menzahirkan perasaan dan ekspresi rakyat Malaysia terhadap negara.
"Perasaan patriotisme merupakan asas dan ciri utama kepada soal jati diri yang kental yang perlu kita pupuk jika kita hendak sebuah negara yang aman, harmoni dan bersatu padu," katanya.
Datuk Seri Najib menegaskan kepentingan jati diri adalah tiang seri untuk menjamin sebuah negara yang aman, harmoni dan bersatu padu.
"Di sinilah negara tempat kita lahir, tempat kita bertatih semasa kecil, bersekolah dan membesar dan mencari rezeki sebagai orang dewasa dan apabila sampai waktunya kita akan bersemadi di tanah tumpah darah kita," katanya.
Beliau berkata contoh terbaik dalam menunjukkan perasaan kasih sayang terhadap negara apabila rakyat bersatu padu mempertahankan imej negara ketika ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara.
Ia juga dapat dilihat apabila rakyat Malaysia menyatakan sokongan kepada atlet negara pada Sukan Olimpik Rio dan Paralimpik Rio tahun lepas, katanya.
"Saya berada di Putrajaya bersama-sama ribuan penghuni Putrajaya untuk memberi sokongan kepada Datuk Lee Chong Wei (pada final acara badminton) dan kita tahu kerana semangat rakyat Malaysia, kita hampir menang emas.
"Begitu juga apabila Mohd Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas FIFA kerana ramai rakyat Malaysia memberi undi, sebab itu dia menang," katanya sambil disambut tepukan gemuruh daripada kira-kira 10,000 hadirin.
-- BERNAMA
   

No comments:

Post a Comment