Friday 3 March 2017

Gerak kerja Hari Wartawan Nasional bermula...

Gerak kerja penganjuran Hari Wartawan Nasional, yang julung kali diadakan tahun ini, bermula hari ini dengan penubuhan beberapa jawatankuasa dipimpin Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh.
Beliau mempengerusikan mesyuarat pertama penyelarasan sambutan itu yang dijangka melibatkan penyertaan 3,000 pengamal media dari seluruh negara. 
Beliau memberikan taklimat ringkas mengenai sambutan itu yang merupakan satu pengiktirafan negara kepada media.
Tarikh yang dicadangkan ialah antara 31 Ogos dan 16 September ketika semangat patriotisme masih membara.
Lokasi untuk sambutan selama tiga hari itu akan ditentukan kemudian tetapi ia adalah satu tempat tepian pantai sama ada di Pahang, Terengganu atau Perak, kata Datuk Zulkefli selaku pengerusi jawatankuasa induk.
Acara utama sambutan ialah expo melibatkan agensi kerajaan dan swasta, seminar berkaitan media, program tanggungjawab sosial serta acara sukan.
Konsert yang menampilkan penyanyi terkenal tanahair juga diusahakan.
Cadangan mengadakan Hari Wartawan Malaysia disuarakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pada 8 Februari lepas ketika menghadiri sambutan Hari Pers Nasional Indonesia di Ambon.
Beliau berkata sudah tiba masanya untuk mewujudkan penghargaan tersebut mulai tahun ini bagi meraikan sumbangan pengamal media terhadap negara.
Datuk Zulkefli, yang turut menghadiri sambutan itu, berkata Hari Pers Nasional Indonesia merupakan acara yang menonjolkan budaya tempatan di sesebuah kawasan bagi menggalakkan pelancongan.
"Kita juga seharusnya memasukkan elemen ini dalam sambutan kita supaya masyarakat merasakan ia turut melibatkan mereka," katanya yang juga Pengerusi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI).
Beliau berkata beberapa pihak lain seperti ISWAMI, Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) dan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) akan dilibatkan nanti dalam penganjuran Hari Wartawan Nasional. 

   

No comments:

Post a Comment