Foto BERNAMA |
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata acara kemuncak LIMA'17 antara lain ialah peluang untuk mengkaji senario geopolitik dengan penyertaan Panglima Tentera Udara dan Penglima Tentera Laut dari pelbagai negara.
"Kesempatan semua Laksamana dan Panglima Tentera Udara tampil bersama untuk berbincang mengenai hala tuju masa depan adalah satu lagi kemuncak LIMA'17.
"Ia bukan sahaja tentang aset dan kehadiran fizikal tetapi juga mendapat idea, membina hubungan dan berkongsi amalan terbaik dalam landskap global yang diselubungi ketidakpastian," katanya dalam majlis bersama media sempena LIMA '17 di Langkawi.
Sebanyak 555 pempamer dari 36 negara telah mengesahkan penyertaan berbanding 512 pempamer pada edisi lepas dan lebih 180,000 pelawat dari seluruh dunia dijangka mengunjungi pameran itu.
Datuk Seri Hishammuddin berkata pihak penganjur telah cuba untuk merapatkan jurang antara penyertaan industri penerbangan komersil dan tentera dalam acara dwitahunan itu.
"Sekarang kita bercakap mengenai penyertaan 65-35 antara industri ketenteraan dan komersil dan menjelang LIMA akan datang, kita berharap penyertaan 50-50 antara pemain industri penerbangan komersil dan tentera," katanya.
LIMA'17 akan berlangsung dari 21 hingga 25 Mac dan tahun ini memasuki edisi ke-14 dalam sejarahnya selama 27 tahun.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment