Wednesday 22 March 2017

Anggota Unit Keselamatan Bernama korban kemalangan...

Warga Bernama pagi ini dikejutkan dengan berita mengenai seorang rakan dan kenalan unit keselamatan yang terkorban selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Jalan Cheras.
Jurucakap Bilik Gerakan Trafik Kuala Lumpur berkata Siti Nordalilah Kamaruddin, 35, yang cedera parah di kepala dan leher,  meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira pukul 3 pagi ini.
Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu Siti Nordalilah dilanggar di sisi sebelah kanan oleh sebuah kereta.
"Mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama.
Jenazah Siti Nordalilah kemudian dibawa ke rumah ibunya di AU3 Taman Keramat, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Taman Keramat. 
Rakan sekerja, Suhaidan Sulaiman berkata kehilangan Siti Nordalilah amat dirasai oleh beliau dan rakan-rakannya yang lain.
Beliau telah mengenali Siti Nordalilah sejak mereka sama-sama memulakan tugas di unit keselamatan Bernama kira-kira tujuh tahun lalu.
"Suami arwah yang memaklumkan kepada kami berkenaan berita sedih itu pagi tadi dan saya macam tak percaya arwah sudah tiada," katanya.
Seorang lagi rakan kerja, Amral Ibrahim, berkata Siti Nordalilah seorang yang periang dan mudah menghulurkan pertolongan.
-- BERNAMA
   


No comments:

Post a Comment