Friday 17 March 2017

Bernama sertai 'Ekspresi Negaraku' bangkit semangat cintakan Malaysia...

Bernama akan mempamerkan foto dan maklumat yang berkisar mengenai semangat cintakan negara dalam program 'Ekspresi Negaraku' di Dataran Putrajaya esok.
Bahan pameran itu disiapkan oleh Unit Pemasaran Foto yang juga akan mengadakan beberapa aktiviti untuk menarik perhatian pengunjung di ruang pameran Bernama.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Ekspresi Negaraku merupakan platform pertama untuk menggerakkan inisiatif 'Negaraku' yang bertunjakkan semangat cintakan Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.  
Inisiatif yang akan dilaksanakan di seluruh negara itu bertujuan menyemarakkan semangat cintakan negara dalam diri rakyat.
"Ekspresi Negaraku diinspirasikan oleh kejayaan dan kemajuan yang kita telah kecapi sebagai sebuah negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Acara itu akan diadakan dari pukul 7 pagi hingga 11 malam bertempat di Dataran Putrajaya, berhadapan Istana Kehakiman, Presint 3.
Ia akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijangka melibatkan peserta lebih 10,000 orang.
Pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti seperti Larian Bendera Negaraku dan Senamrobik Negaraku.
Di kawasan itu akan disediakan 'Zon Kebanggaan dan Kecintaan' yang akan memaparkan cerita individu-individu yang telah menyumbang kepada negara melalui
'Kisah-Kisah Kejayaan Negaraku' dipaparkan untuk menjadi inspirasi kepada para pengunjung, kata Salleh.
Zon Aspirasi pula menyediakan peluang kepada rakyat Malaysia berkongsi harapan dan aspirasi mereka untuk masa hadapan negara.
Konsert Ekspresi Negaraku akan diadakan pada sebelah malam menampilkan artis-artis ternama seperti Amy Search, Ella dan Bunkface.
-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment