Monday 13 March 2017

'Black and Gold' tema majlis ulangtahun Bernama...

Konsep 'Kegemilangan Emas' menjadi tema baharu bagi Majlis Makan Malam Sempena Ulangtahun ke-50 Bernama pada 22 Mei ini.
Jawatankuasa Persembahan bagi sambutan tersebut, yang mengemukakan cadangan itu, turut mengesyorkan pakaian 'Black and Gold' untuk majlis makan malam nanti.
Sebelum ini, tema 'Retro' dengan pakaian, antara lain seluar 'bell-bottom', serta gaya rambut 'Afro' dicadangkan bagi memeriahkan majlis.
Namun daripada maklum balas yang diterima agar majlis berkenaan mencerminkan kegemilangan Bernama, tema yang lebih 'gah' dikemukakan. 
Apatah lagi ini merupakan sambutan 'Jubli Emas' Bernama yang telah berkembang pesat sejak memulakan operasi pada 20 Mei 1968.
Penerbit Kanan Bernama Radio, Essan Yahya, berkata mengambil konsep 'Kegemilangan Emas', majlis ulangtahun itu diinspirasikan menerusi elemen emas.
Ini akan diperlihatkan pada warna tema keseluruhan dewan, pakaian dan penampilan serta sebagai bahan perantara pengendali majlis, kata Essan yang mewakili jawatankuasa itu pada mesyuarat penyelarasan sambutan Khamis lepas.  
"Kita ambil simbolik emas untuk dijadikan tema," katanya.
Majlis makan malam itu bukan sekadar untuk bergembira sesama warga Bernama tetapi yang lebih bermakna ialah meraikan mereka yang telah memberikan sokongan dengan melanggani pelbagai perkhidmatan Bernama. 
  

No comments:

Post a Comment