Wednesday 29 March 2017

MECC dicadang lokasi Hari Wartawan Nasional...

Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) di ibunegara dicadang sebagai lokasi Hari Wartawan Nasional (HAWANA), yang julung kali disambut tahun ini.
Cadangan itu dikemukakan oleh Jawatankuasa Penginapan dan Seminar pada mesyuarat penyelarasan kali ketiga jawatankuasa induk yang dipengerusikan Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh di Wisma Bernama pagi ini. 
MECC difikirkan sesuai kerana mempunyai dewan persidangan yang boleh memuatkan 1,200 orang, dewan pameran serta kemudahan yang diperlukan.
Lawatan ke tempat tersebut akan diatur bagi melihat kesesuaiannya sebagai lokasi sambutan.  
Tempat itu dicadangkan berikutan keputusan mesyuarat yang lepas untuk mengesyorkan agar sambutan diadakan di sekitar ibu negara daripada cadangan asal sama ada di Perak, Pahang atau Terengganu.
Pertimbangan itu antara lain mengambilkira soal logistik serta kelapangan para peserta yang dijangka mencecah 3,000 orang menghadiri sepenuhnya sambutan selama tiga hari itu.
Tarikh HAWANA 2017 belum dimuktamadkan tetapi telah dipastikan untuk diadakan antara 31 Ogos hingga 16 September 2017.
Ini bersesuaian dengan sambutan bulan kemerdekaan bagi melonjakkan peranan dan kehebatan media dalam kemerdekaan serta pembentukan negara bangsa.
Selain seminar yang memberi fokus kepada isu 'berita palsu' dan masa depan media cetak dalam aliran media baharu, acara sambutan turut diisi dengan ekspo/karnival, acara sukan boling dan futsal, program tanggungjawab sosial dan lawatan.
Jemputan juga telah dibuat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merasmikan Hari Wartawan Nasional sesuai dengan pengiktirafan kepada peranan wartawan dalam pembangunan negara.
Mesyuarat hari ini juga bersetuju membentuk jawatankuasa terdiri daripada Bernama serta wakil-wakil akhbar, Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dan persatuan-persatuan wartawan bagi menentukan penyertaan menyeluruh para pengamal media dalam sambutan itu.  
      

No comments:

Post a Comment