Bernama News Channel (BNC) mengadakan perbincangan dengan BeritaSatu News Channel Indonesia di Jakarta hari ini untuk bekerjasama dari segi perkongsian berita dan kandungan siaran.
Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab dan Pengarah Operasi BNC Hakimi Mohd Zain mewakili Bernama manakala BeritaSatu News Channel diwakili Timbalan Ketua Editor Hamdani S.Rukiah.
Para pegawai Bernama itu turut melawat MCR, ruang editorial, studio, konti serta kemudahan lain di organisasi itu.
Hakimi berkata perbincangan berkisar kepada kerjasama dalam pertukaran bahan berita sebagai permulaan sebelum dipertingkatkan kepada program ehwal semasa serta latihan petugas termasuk attachment.
"BeritaSatu adalah paling mirip dengan BNC dari segi operasi...staf juga lebih kurang sama ramai dan bersiaran konten hampir sama dengan BNC," katanya.
Mula beroperasi sebagai BeritaSatu News Channel pada 3 September 2011, ia diluncurkan sebagai Q Channel pada tahun 1998 sebelum dikenali sebagai QTV pada tahun 2005.
Slogan yang digunanya sekarang ialah "The Channel for Decision Makers".
Datuk Zakaria berada di Jakarta untuk memenuhi undangan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia yang menganjurkan Malam Media Malaysia-Indonesia di Auditorium Adhiyana di Wisma Antara, Jakarta esok.
Turut berada di Jakarta untuk majlis itu ialah Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang dan Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh.
Kira-kira 250 orang termasuk tetamu kehormat Menteri Komunikasi dan Informatika Republik Indonesia Rudiantara dijangka menghadiri malam media itu.
Ia merupakan acara pembukaan sempena sambutan 60 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia pada tahun ini. Acara kemuncaknya ialah sempena sambutan hari kebangsaan kelak.
Dalam majlis itu, Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim akan melancarkan sambutan 60 tahun tersebut dan satu tayangan motaj mengenai sejarah 60 tahun hubungan Malaysia-Indonesia akan diluncurkan pada malam itu.
No comments:
Post a Comment