Wednesday 29 March 2017

Bernama News Channel lancar empat program bual bicara...

Bernama News Channel (BNC) melancarkan empat program bual bicara yang akan disiarkan April ini menerusi lima platform iaitu saluran 502 Astro, saluran 410 HyppTV, saluran MyTV 121, www.bernama.com dan webtv.bernama.com. 
Pengarah Operasi BNC, Hakimi Zuffrida Mohd Zain berkata program itu -- Nine-11, Famous 2 Famous, Hijabsters dan Biz Talk -- akan membicarakan mengenai kehidupan harian, isu sosial, memasak, fesyen Muslim serta perniagaan bagi memenuhi selera pelbagai lapisan penonton.
Program Famous 2 Famous dan Hijabsters memasuki musim kedua sementara Biz Talk dan Nine-11 merupakan program baharu.
"Nine-11 ialah program bual bicara berkonsep santai, berinformasi dan menghiburkan dalam Bahasa Malaysia yang khusus mengupas isu-isu semasa. 
"Program tersebut akan dikendalikan oleh personaliti televisyen yang terkenal seperti Norish Karman dan Masrenny Masri," katanya pada majlis pelancaran program itu oleh Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh. 
Turut hadir ialah Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Mikhail Raj Abdullah.
Datuk Zulkefli berharap pelancaran program tersebut akan meningkatkan jumlah penonton saluran televisyen itu.
"Kita harap empat program baharu ini akan meningkatkan jumlah penonton BNC kerana saya percaya program-program ini sangat menarik dan sangat berfaedah kepada penonton. Sekiranya program-program ini mendapat sambutan, insyaAllah kita akan menambah baik lagi," katanya.
Beliau berkata keempat-empat program itu merupakan hadiah kepada penonton BNC yang mengikuti berita terkini dan isu-isu semasa.
"Saya melihat penambahan program-program ini adalah sebagai satu hadiah kepada penonton yang mengikuti perkembangan semasa dan isu-isu semasa menerusi BNC...sambil menunggu siaran berita, mereka boleh menonton program-program ini," katanya.
"Kekuatan program sebenarnya terletak juga kepada kandungan berita dan persembahan berita kita.
"Saya berharap dalam masa yang sama, kandungan berita dan persembahan berita BNC juga akan bertambah baik supaya dua gabungan ini dapat memuaskan hati penonton," katanya.
-- BERNAMA
     

No comments:

Post a Comment