Friday, 18 July 2014

Wartawan dan Jurufoto Bernama Berlepas ke Ukraine...

Razman (tengah) dan Zulkarnain (dua dari kanan)Foto BERNAMA

Ketua Meja Jenayah Bernama Mohd Razman Abdullah dan jurufoto Zulkarnain Kamaruddin berlepas ke Kiev malam ini bagi membuat liputan nahas pesawat Malaysia Airlines MH17.
Mereka adalah antara tujuh wakil media yang menyertai delegasi Pasukan Siasatan Dan Pengurusan Pasca Tragedi itu yang berlepas dengan penerbangan khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada jam 8 malam.
Zulkarnain berkata penyertaan dalam pasukan itu akan membolehkannya merakam foto dari sudut pandangan kita sendiri dan tidak bergantung kepada pihak lain.
Razman pula tetap tabah walaupun tugasan itu agak mencemaskan kerana tempat  nahas adalah dalam kawasan yang agak tegang.
Selain Bernama, pasukan media itu mengandungi wakil Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan.
Foto BERNAMA
Delegasi itu terdiri daripada 149 anggota termasuk 24 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), 23 orang pasukan perubatan iaitu 13 ahli patologi dan 10 pakar pergigian, 20 pegawai forensik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan 10 pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata 10 pegawai Jakim yang diketuai Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Abdul Manaf Mat itu ditugaskan untuk membantu mengenal pasti dan menguruskan jenazah rakyat Malaysia yang masih sempurna.
Pasukan media tempatan itu dibawa bagi melihat dan memberi gambaran sebenar di lokasi kejadian agar rakyat tidak bergantung kepada maklumat media asing, katanya kepada pemberita di lapangan terbang itu.
Shahidan berkata usaha kini tertumpu untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak terbabit bagi delegasi tersebut memasuki lokasi kejadian memandangkan wilayah berkenaan sedang bergolak.
Taklimat di KKMM
"Pihak Wisma Putra sedang berusaha menyelesaikan beberapa perkara sebelum delegasi dibenarkan untuk menjalankan operasi mencari dan menguruskan mayat mangsa," katanya.
Pesawat MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, adalah dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia semalam.
Penerbangan itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu tempatan) Khamis dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 6.10 pagi ini (waktu Malaysia).

No comments:

Post a Comment