Friday, 18 July 2014

Panggilan beberapa pemimpin dunia ....



Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh duduk di sebelah Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis berbuka puasa Perdana Menteri bersama-sama pengamal media di Angkasapuri petang ini.
Datuk Seri Najib dilihat hanya sempat menjamah buah kurma apabila menerima panggilan beberapa pemimpin dunia susulan nahas pesawat Malaysia Airline (MAS) Penerbangan MH17 di Ukraine.
Sebaik sahaja berbuka puasa di perkarangan Masjid Al-Muhammadi, perdana menteri menerima panggilan telefon daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon.
Perdana Menteri bercakap mengenai tragedi MH17 itu kira-kira 10 minit dengan Ban, sebelum bangun untuk menunaikan solat Maghrib.
Selesai menunaikan solat Maghrib, beliau menerima panggilan daripada Presiden Rusia Vladimir Putin pula.
Pada mulanya, Datuk Seri Najib dijadualkan membuat perutusan khas mengenai MH17 menerusi RTM1 pada 8.10 malam ini, namun terpaksa menangguhkannya ke 11 malam berikutan panggilan beberapa pemimpin dunia itu.
Pesawat MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal adalah dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia.
Ia berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu tempatan) semalam dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 6.10 pagi ini (waktu Malaysia).
Pagi tadi, Datuk Seri Najib menerima panggilan telefon daripada presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan mereka sependapat bahawa satu siasatan tanpa sebarang sekatan perlu dijalankan. 
Beliau juga telah bercakap dengan Presiden Ukraine dan pemimpin itu berjanji siasatan penuh, menyeluruh dan bebas akan dijalankan, manakala pegawai Malaysia juga akan dijemput menyertainya.
"Presiden Ukraine itu juga mengesahkan bahawa kerajaannya akan berunding dengan pemberontak di timur negara itu untuk menubuhkan satu koridor kemanusiaan di tempat pesawat berkenaan terhempas," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment