Thursday, 17 July 2014

Sepatu Raya untuk anak-anak yatim…



Persatuan Suri dan Anggota Wanita (Benita) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini menceriakan 64 anak yatim dan fakir miskin dari Rumah Anak Yatim al-Nasuha, Gombak dengan sumbangan kasut raya.
Pengerusinya Rohana Mustaffa berkata program 'Sepatu Raya Untuk Si Anak Yatim' itu adalah hasil sumbangan wang tunai anggota Benita dan petugas Bernama yang dikumpul pada 25 Jun lepas.
"Program yang dilaksanakan sejak lima tahun lepas ini memberi peluang kepada anak-anak yang kurang bernasib baik untuk merasai suasana menyambut hari lebaran.
"Kita bawa mereka ke kedai kasut dan benarkan mereka pilih kasut yang mereka berkenan," katanya ketika membawa anak-anak yatim itu membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur.
Beliau berkata program itu juga mendapat kerjasama kedai kasut terbabit yang menawarkan diskaun istimewa untuk program amal berkenaan.
Program membeli kasut raya itu yang bermula 10 pagi dan berakhir sejam kemudian turut disertai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Zakaria berkata beliau gembira dengan inisiatif Benita yang sanggup turun padang menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik dengan melaksanakan program tahunan seperti itu.
"Ia bagi memberi perasaan yang sama kepada anak-anak kurang bernasib baik ini merasai kehidupan seperti anak-anak lain yang ada keluarga," katanya.
Sementara itu, penjaga anak-anak yatim berkenaan, Mohd Shafi Helmi Mokhtaruddin berkata rumah tersebut yang beroperasi sejak lima tahun lepas menempatkan 69 anak yatim atau berasal daripada keluarga fakir miskin.
"Anak yatim ada 12 orang, selebihnya anak fakir yang pendapatan keluarga kurang daripada RM500 sebulan. Kebanyakan yang tinggal di sini adalah adik-beradik kerana keluarga tak mampu nak menyara mereka.
"Saya berterima kasih kepada yang beri sumbangan pada hari ini kerana ia memberi mereka rasa keseronokan, rasa kasih sayang dan rasa hidup berkeluarga," katanya.
Rosmawati Razali, 11, yang kematian ibunya pada tahun lepas berkata dia gembira apabila diberi peluang untuk memilih kasut raya sendiri pada tahun ini sambil ditemani rakan-rakannya.
"Kasut raya ini akan melengkapkan pakaian saya pada hari raya nanti," kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment