Sunday, 27 July 2014

Esok Hari Raya...



Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri esok.
Pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad itu disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.
"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini saya mengisytiharkan tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Isnin, 28 Julai 2014," katanya.
Tarikh itu ditetapkan berdasarkan rukyah dan hisab menerusi 30 tempat pencerapan di seluruh negara.
Sejurus pengumuman itu, takbir bergema di seluruh negara menyambut kedatangan 1 Syawal. Takbir itu mengingatkan kita kepada kebesaran Allah s.w.t. 
Takbir itu petanda kemenangan kembali kepada fitrah hasil mujahadah sepanjang Ramadan yang diumpamakan sebuah sekolah (madrasah).
Pewarta Bernama di Singapura, Tengku Noor Shamsiah Abdullah melaporkan
bahawa umat Islam di Singapura juga  menyambut Aidilfitri esok. Mufti Singapura Dr Mohamed Fatris Bakaram, yang membuat pengumuman itu, turut  mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri" kepada semua umat Islam.
Pemberita sambilan Bernama di selatan Thailand Tuwaedaniya Meringing melaporkan bahawa umat Islam di selatan Thailand juga akan berhari raya esok. Pengumuman dibuat Pejabat Sheikul Islam Thailand malam ini.
Hari Raya di Thailand ditentukan dengan melihat anak bulan.
Daerah Yaha di wilayah Yala adalah antara kawasan yang ditetapkan majlis
agama itu selain wilayah Pechaburi untuk melihat anak bulan.
Meskipun wilayah-wilayah di selatan Thailand selalu bergolak dengan keganasan namun ia dilupakan seketika untuk menyambut ketibaan Hari Raya.
Suasana di Bandar Pattani hari ini penuh sesak dengan kenderaan dan umat
Islam membeli-belah persiapan bagi menyambut Aidilfitri.
   

No comments:

Post a Comment