Sunday, 20 July 2014

Bersama sukarelawan Malaysia ke Vietnam...


Foto YSS
Pengorbanan sekumpulan siswa Malaysia untuk  berhari raya di perantauan kerana kegiatan sukarelawan diserlahkan dalam laporan wartawan BERNAMA Mohd Noor Firdaus Mohd Azil.
Beliau dan jurufoto Muhammad Zulhilmi Daud  berada di Vietnam untuk menyertai  kumpulan itu dalam program ‘Green Summer Volunteer Campaign 2014 Vietnam’.
Misi ala “peace corps” itu  merupakan acara tahunan dan Malaysia adalah satu-satunya negara yang dijemput dua tahun berturut-turut bagi program itu yang disertai kira-kira 90,000 belia Vietnam.
Kali ini Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) menghantar 30 siswa yang  terpilih dari seluruh institut pengajian tinggi di Malaysia menyertai program selama sebulan  itu dari 13 Julai hingga 10 Ogos.
Foto BERNAMA
Para peserta tinggal bersama sukarelawan  Vietnam bagi membantu komuniti setempat dalam aktiviti gotong-royong seperti membina rumah, membersihkan kebun, membaiki  jambatan serta mengadakan kelas tuisyen percuma.
“Bagi kumpulan siswa ini, yang majoritinya beragama Islam, tuntutan berpuasa tidak menjejaskan semangat mereka dalam melaksanakan misi itu,” kata Mohd Noor Firdaus.
Di samping menjadi 'duta kecil' Malaysia, ada kalangan siswa itu yang mula mempelajari nilai-nilai kehidupan dengan lebih mendalam ketika menyertai program sebegini.
Selain menemubual para peserta, beliau bertemu Konsul Jeneral Malaysia di Vietnam Shazryll Zahiran yang menyatakan program itu memberi peluang kepada siswa negara menghayati  konsep sebenar kesukarelawan.
 Inisiatif membabitkan siswa dalam program seumpama itu bukan sahaja memberi pendedahan lebih meluas kepada mereka malah dapat memacu semangat nasionalisme ke peringkat lebih tinggi.
"Kita ini sebagai rakyat Malaysia, kita patut rasa bersyukur sebab kita berada dalam satu persekitaran yang aman, kita tak hadapi sebarang permasalahan seperti mereka yang tinggal di negara konflik.
"Namun kita rasa adalah perlu bagi melahirkan golongan yang mempunyai kekuatan mental dalam menghadapi keadaan konflik kerana mereka inilah yang akan memimpin negara suatu hari nanti," kata Shazryll.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YSS Nur Afni Halil pula berkata objektif yayasan itu ialah melahirkan ikon belia yang lengkap dari segi personaliti, kekuatan mental dan mempunyai pendedahan secukupnya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment