Thursday, 17 July 2014

Salam dari Kuala Lumpur dan Jakarta...



Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan agensi berita Indonesia, Antara, hari ini melancarkan rancangan televisyen berjudul 'Salam Dari Kuala Lumpur' dan 'Salam Dari Jakarta', memaparkan maklumat terkini peristiwa yang berlaku di kedua-dua negara.
Program 'Salam Dari Kuala Lumpur' mengutarakan isu-isu semasa, berita bercorak santai dan kejayaan rakyat Indonesia di Malaysia yang diterbitkan BernamaTV disiarkan oleh Antara TV di Indonesia, manakala BernamaTV menyiarkan 'Salam Dari Jakarta' terbitan Antara TV.
Program selama 30 minit yang bermatlamat membantu meningkatkan pengetahuan serta persefahaman rakyat serumpun dan seterusnya mengukuhkan hubungan dua hala itu telah bersiaran secara serentak sejak 5 Julai lepas.
Kedua-dua program ke udara pada setiap Sabtu, pukul 9.30 malam dengan siaran ulangan pada Ahad, pukul 11 malam
Rancangan 'Salam Dari Kuala Lumpur' disiarkan kira-kira 50 stesen televisyen tempatan di 30 provinsi di seluruh Indonesia, manakala program 'Salam Dari Jakarta' ditayangkan BernamaTV menerusi saluran 502 Astro.
Pelancaran terbitan itu disempurnakan bersama oleh Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Biro Antara di Malaysia, Aulia Badar dengan disaksikan oleh Timbalan Duta Indonesia di Kuala Lumpur, Hermono.
Zulkefli berkata selain memberi informasi isu terkini dan berkongsi tempat-tempat menarik, program 'Salam Dari Kuala Lumpur' juga bermatlamat mengatasi persepsi negatif masyarakat bahawa Indonesia tidak lebih daripada hanya sekadar negara pembekal buruh kasar kepada Malaysia.
Beliau berkata persepsi itu menjadi antara penyumbang hubungan dingin antara masyarakat kedua-dua negara selain kurangnya interaksi sesama rakyat sepertimana yang berlaku ketika kegemilangan program Titian Muhibbah yang pernah ditayangkan sekitar tahun 90-an.
"Melalui program ini, kami mempunyai sasaran yang jauh ke hadapan iaitu cuba membangkitkan kefahaman bahawa Indonesia memiliki keupayaan untuk menjadi kuasa di Asia dan jika hubungan serumpun ini dapat diperkukuh, kedua-dua negara akan mendapat banyak faedah," kata dalam sidang media.
Bagi Hermono, penerbitan program itu diharap dapat menjadi perisai dalam menangkis persepsi buruk yang ditimbulkan dalam media sosial yang disifatkannya cukup 'liar' dalam mensensasikan berita negatif bagi mengeruhkan hubungan sesama masyarakat serumpun.
Beliau berharap pihak produksi dapat menangani cabaran itu dengan menyelitkan seberapa banyak informasi, khususnya yang bersifat membina emosi dalam membangkitkan semangat setiakawan penduduk kedua-dua negara.
"Bagi pihak kerajaan Indonesia, saya harap program ini dapat memberi keseimbangan maklumat, keseimbangan kepada informasi di media sosial kerana kita yakin hubungan sesama kerajaan adalah sentiasa baik," katanya.
Sementara itu, Aulia berkata dengan sasaran ditonton oleh lebih 200 juta penduduk menerusi tayangan di lebih 30 provinsi di Indonesia, beliau yakin berita dan informasi yang diketengahkan mampu mewujudkan persamaan persepsi mengenai negara dan rakyat masing-masing.
Kerjasama dalam pertukaran program televisyen bersama BernamaTV ini menjadi satu lagi inisiatif terkehadapan yang diambil dalam memperkukuh hubungan sesama masyarakat selain berkongsi maklumat mengenai perkara-perkara menarik tentang kedua-dua negara, katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment