Saturday 28 January 2017

Seluar 'bell-bottom', rambut Afro ...

Majlis Makan Malam sempena Ulangtahun Jubli Emas Bernama bertemakan 'Retro' yang akan mengembalikan nostalgia era seluar bell-bottom, baju kameja kolar lebar dan rambut Afro.
Tema itu diputuskan dalam Mesyuarat Penyelarasan Majlis Ulangtahun Bernama yang dipengerusikan Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh pada Khamis lepas.
Majlis makan malam itu merupakan antara acara sambutan selain majlis doa selamat, pameran/galeri mengenai Bernama, sukan boling dan keluaran setem khas bagi menyambut 50 tahun penubuhan Bernama.
Pengurus Komunikasi Korporat Zarina Rozali turut memaklumkan kepada mesyuarat mengenai logo sambutan Jubli Emas itu yang telah dipilih oleh Jawatankuasa Pengurusan pada mesyuaratnya pagi itu.
Bernama ditubuhkan menerusi Akta Parlimen pada 6 April 1967.
Majlis pelancarannya diadakan di bangunan Parlimen pada 30 Ogos 1967.
Bernama, yang memulakan operasi dengan 44 petugas, mengeluarkan berita pertamanya pada 20 Mei 1968.
Selain pakaian, cadangan juga dikemukakan supaya diadakan sketsa suasana bilik berita ketika era tersebut dengan menampilkan watak-watak editor handalan.
Tema Retro pernah digunakan oleh Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) bagi majlis jamuannya pada 24 Januari 2015.
"Retro Nite BENITA dulu kami hias lampu disco," kata Pengerusinya Datin Rohana Mustaffa.
"Pakaian selain afro, bell-bottom, ikut watak artis tahun 60an, 70an, Vespa pun kami ada," katanya. 
Bagi penyunting Encik Shamsudin Puteh, tema retro yang dicadangkan itu adalah menarik.
"Ya, (seluar) bell-bottom, sepatu tumit tinggi dan baju kolar lebar serta panjang hujungnya," kata beliau.
Ini ditambah dengan seluar fesyen yankie dan ada yang minat tali pinggang besar.
"Saya orang fesyen lama..he he. Pengaruh hippies masih kuat masa itu.
"Woodstock jadi sebutan dan ikutan ramai...seluar dan baju diperbuat daripada kain kampit tepung.
"Saya masih ingat dengan jelas," katanya yang mula berkhidmat dengan Jabatan Penerangan pada tahun 1976.
Encik Shamsudin yang kini kerap membuat catatan mengenai kisah nostalgia, pantun, seloka dan sajak dalam akaun Facebooknya, berkata suasana di bilik berita ketika itu juga berlainan.
"Masa tu, asap rokok memenuhi ruang pejabat....bising dengan bunyi ketukan mesin taip.
"Suara petugas riuh rendah sebab tak mahu tenggelam dek bunyi mesin taip.
"Pengalaman awal saya dengan dunia persuratkhabaran bermula apabila bertugas membuat buku cenderamata musabaqah di Utusan Printcorp yang sebumbung dengan Utusan Melayu," katanya.
"Masa tu saya kerja dengan (Jabatan) Penerangan, cuma ke Utusan Printcorp untuk tugasan buku musabaqah dan buku lain yang perlukan tulisan jawi, tapi kerap jugalah.
"Umur saya masa tu awal 20-an," kata Encik Shamsudin yang sempat melihat penggunaan mesin lynotype dalam percetakan.
"Keyboardnya sebesar meja....guna timah cair untuk hasilkan huruf sebelum disusun menjadi perkataan dan dicetak," katanya.


No comments:

Post a Comment