Tuesday 31 January 2017

Program 3B Bernama jayakan CSR...

Foto Bernama
Program Baca Bersama Bernama (3B), yang dilancarkan Bernama pada 2014, berjaya mengumpul lebih 2,000 bahan bacaan.
Timbalan Pengerusi I Program 3B Hasnita Ibrahim berkata buku-buku itu hasil sumbangan orang ramai menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan di bawah program berkenaan.
Ini termasuk 'book walk', Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, kerjasama dengan agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Buku-buku yang dikumpulkan itu,  kami sumbangkan semula kepada golongan sasaran merangkumi anak yatim dan asnaf, mangsa pelarian, anak-anak Orang Asli serta sekolah yang terjejas dengan banjir.
"Program 3B ini merupakan satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bernama kepada masyarakat," katanya pada Program Menyantuni Mangsa Banjir Kelantan 2017 di Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong di Pasir Mas hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Datuk Nafisah Ahmad, Pengerusi Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) Kumpulan Timur Rugayah Ali dan Guru Besar SK Kedai Tanjong Abd Alim Ali Amat.
Lebih 1,000 buah buku bernilai lebih RM3,000 diserahkan kepada SK Kedai Tanjong pada program berkenaan hasil sumbangan Bernama, PNM, Perpustakaan Kuala Lumpur, Pusat Sumber Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Majlis Buku Negara, Kota Buku dan Yayasan Bank Rakyat.
Turut diadakan pelbagai aktiviti bagi merangsang minda dan kreativiti murid seperti mewarna, membuat kraftangan origami dan bercerita.
Hasnita yang juga Pengurus, Pusat Maklumat dan Perpustakaan (InfoLib) Bernama berkata antara tujuan Program 3B termasuklah memupuk minat dan kesedaran kepada golongan sasaran mengenai kepentingan membaca, merapatkan hubungan sosial antara Bernama dan pihak terlibat dengan golongan sasaran.
"Selain itu, Program 3B bertujuan menanam budaya membaca ke arah melahirkan masyarakat berpengetahun, keterampilan dan cemerlang akademik dan membuka minda masyarakat mengenai kepentingan Bernama.
"Ia sekaligus memperkembangkan konsep CSR untuk memberi impak positif secaraberterusan kepada masyarakat," katanya.
 -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment