Wednesday 18 January 2017

Orang baharu, orang lama ...

Foto Bernama
Ketika 33 petugas baharu menjalani hari kedua dan penutup program suaikenal, Wisma Bernama hari ini menerima kunjungan 32 kakitangan 'veteran' bagi meraikan seorang rakan lama yang pulang bercuti dari Amerika Syarikat.
Bekas wartawan Bernama, Fuziah Ayub, 67, kini menetap di Baltimore setelah bermastautin lebih 30 tahun di negara itu. 
Beliau meninggalkan Bernama pada tahun 1981 untuk mengikut suami yang melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat.
Tiga puluh enam tahun selepas meninggalkan bidang kewartawanan, Fuziah masih terkenang zaman beliau bertugas sebagai pemberita di Bernama.
Wanita kelahiran Klang itu masih ingat bagaimana beliau seronok untuk mengetahui tugasan yang bakal diberi oleh pengarang berita kepadanya. 
 "Itulah zaman kami menunggu-nunggu tugasan. Kami suspen tapi seronok... kami
pelajari benda baharu setiap hari," katanya pada majlis pertemuan para veteran Bernama yang diadakan untuk meraikan beliau.

 Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab turut hadir. 
  Masih aktif bekerja, Fuziah kini berkhidmat sebagai penterjemah bahasa di sebuah syarikat dengan tumpuan kepada terjemahan bahasa Melayu bagi sektor perubatan, sosial dan perindustrian. 
Beliau sedang bercuti di Malaysia untuk meraikan majlis kenduri akikah cucunya. 
Foto Bernama
Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang menyifatkan Fuziah sebagai 'senior' yang banyak membantu dalam penulisan ketika beliau memulakan kerjaya sebagai pemberita kadet di ibu pejabat Bernama yang ketika itu bertempat di Wisma Belia, Jalan Syed Putra.
"Fuziah merupakan antara wartawan yang mempunyai kereta pada masa itu and Kuala Lumpur was a new place for me ...she used to take me 'makan-makan' around KL in her car in 1973," katanya.

No comments:

Post a Comment