Friday 13 January 2017

Kejayaan pembakar semangat...

Wartawan Tengku Faizah Tengku Yusop menganggap kejayaan memenangi pertandingan penulis muda kemanusiaan 2016 sebagai pembakar semangat untuk terus menulis terutama dalam isu kemanusiaan.
"Perasaan saya masih tidak percaya...tetapi bersyukur atas peluang yang diberi," katanya selepas majlis penyerahan hadiah pertandingan di pejabat serantau Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di ibu negara.
Ketua delegasi serantau ICRC Isabelle Barras menyampaikan hadiah kepada Tengku Faizah berupa baucer barangan elektronik/gajet bernilai RM1,500 serta sijil penghargaan.
Pertandingan itu anjuran ICRC dan Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) sempena sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia.
Tengku Faizah berkata beliau tidak menjangka untuk memenangi pertandingan itu.
"Jangankan menjangka, mimpi pun tak," kata wartawan di Perkhidmatan Berita Antarabangsa itu.
Artikel kemenangannya ialah mengenai pengalaman seorang pegawai ICRC semasa gempa bumi di Nepal yang disiarkan pada bulan Jun tahun lepas.
".. saat berlakunya gempa bumi itu, apa yang dia saksikan, tindakan dia sewaktu dan selepas kejadian," katanya mengenai tulisannya itu.
Beliau memang mengikuti isu kemanusiaan dan kemenangan itu akan lebih mendorongnya.
Ditanya mengenai persediaan ketika menulis artikel itu, beliau berkata: "Persediaan yang utama, pada saya (kerana lain orang, lain caranya) adalah sediakan soalan yang boleh menghasilkan cerita yang menarik...kembangkan dari situ."
Apakah kewartawanan merupakan cita-cita dari kecil, beliau berkata: "Malangnya ia bukanlah cita-cita tetapi takdir." 
Tengku Faizah menyertai Bernama setelah menjalani latihan praktikal pada Mac 2013.

No comments:

Post a Comment