Friday 20 January 2017

Bernama Rakan Media Pertama Program E-Sisa ...

Datuk Seri Azman dan Encik Aisharuddin
memasukkan telefon bimbit lama mereka ke dalam kotak
pengumpulan 'e-sisa' mudah alih -- Foto Bernama 
Bernama menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam usaha memastikan sisa elektronik dibuang dengan betul.
Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang berkata sebagai rakan media pertama yang menyertai program 'E-Sisa Mudah Alih: Telefon Lama, Kehidupan Baharu', Bernama akan membantu MCMC memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai program itu.
"Kita mahu menggalakkan pengguna supaya membuang sisa elektronik seperti telefon bimbit lama ke tempat yang disediakan berbanding menyimpan atau membuangnya di tempat yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar dan kesihatan."
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan kotak pengumpulan 'e-sisa' mudah alih di Wisma Bernama hari ini.
Kotak itu diserahkan oleh Pengarah Kanan Bahagian Teknologi dan Masyarakat MCMC Aisharuddin Nuruddin kepada Datuk Seri Azman dan diletakkan di Wisma Bernama bagi membolehkan kakitangan dan orang ramai di kawasan berhampiran membuang telefon bimbit mereka yang sudah tidak lagi digunakan.
Progam E-Sisa Mudah Alih diperkenalkan bertujuan mendidik pelbagai lapisan masyarakat mengenai kepentingan melupuskan barang elektronik secara lebih mesra alam serta mengitar semula barang berkenaan.
E-Sisa Mudah Alih secara khusus merujuk kepada semua jenis sisa yang terhasil daripada peranti berasaskan SIM seperti telefon bimbit, telefon pintar, tablet, phablet termasuk pengecas dan aksesori.
E-Sisa Mudah Alih kini menerima peralatan ICT lama dan yang tidak digunakan seperti komputer riba, modem dan powerbank.
Komponen elektronik yang ditermui dalam peranti mengandungi bahan pencemar seperti plumbum, kadmium dan merkuri yang boleh mengakibatkan isu persekitaran dan kesihatan yang serius jika tidak diuruskan dengan sebaik-baiknya.
Datuk Seri Azman berkata sebagai usaha menyokong program berkenaan, Bernama juga akan berbincang dengan MCMC untuk meletakkan kotak mudah alih itu di setiap pejabat bironya bagi memberi akses yang lebih luas kepada pengguna membuang sisa elektronik.
Aisharuddin pula berkata program yang dimulakan pada Ogos 2015 itu kini berjaya mengumpul kira-kira 6,000 telefon bimbit terpakai.
Jumlah itu masih rendah kerana kajian MCMC mendapati terdapat 45 juta telefon bimbit di negara ini.
"Kami menyasarkan satu juta telefon bimbit boleh dikumpul melalui lebih 100 kotak pengumpulan mudah alih yang kami telah sediakan di seluruh negara dan akan dilupuskan dengan cara yang selamat," katanya.
Beliau berkata kotak-kotak itu kini diletakkan di lokasi seperti di syarikat telekomunikasi, sekolah swasta dan Pusat Internet 1Malaysia di seluruh negara untuk memudahkan masyarakat membuang sisa elektronik mereka.
Katanya MCMC juga merancang menambah bilangan kotak pengumpulan dan mempromosikan inisiatif berkenaan melalui program Klik Dengan Bijak dan Komuniti Pintar.
-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment