Friday 6 January 2017

Cemas harungi banjir...

Perasaan gembira menyelubungi Penolong Editor Meja Foto Kamaruzaman Yaacob apabila mendapat kelulusan ketua pengarang untuk pulang ke Rantau Panjang, Kelantan membuat liputan banjir.
“Niat dalam hati masa tu nak cari gambar front page untuk siaran akhbar pelanggan kita...saya yakin boleh lakukan yang terbaik berdasarkan pengalaman  ketika menjadi stringer foto Biro Kelantan 2003-2009,” katanya.
Beliau menceritakan mengenai detik cemas dan mencabar membuat liputan itu serta penggunaan dron bagi merakamkan foto yang lebih menarik.
  
4 Januari 2017
Jam 5.30 pagi sampai di Kampung Gual Tinggi, kira-kira 5 km dari Pekan Rantau Panjang dan terpaksa meletak kenderaan di kawasan selamat.
Selepas itu berjalan kaki sejauh kira-kira 2 km dan kadang kala mengharungi air banjir yang mengenangi jalan untuk sampai di Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang.
Perjalanan agak sukar kerana terpaksa mengalas dua beg berisi peralatan kamera, laptop dan sedikit pakaian.
Kira-kira pukul 6.30 pagi menumpang trak Pasukan Gerakan Am (PGA) meredah air banjir sedalam kira-kira 1 hingga 1.5 meter untuk sampai di Kompleks Imigresen, Kastam, Keselamatan dan Kuarantin (ICQS) Rantau Panjang sejauh 3 km.
Jam 7.30 pagi mengharungi air banjir sedalam paras leher untuk balik ke rumah ibu bagi memastikan dia telahpun berpindah.
Keadaan air masa itu di atas rumah sedalam paras lutut dan setelah memastikan semua penghuni tiada saya kembali mengharungi air menuju ke Kompleks ICQS berhampiran.
Pukul 8.30 pagi menumpang trak Bomba dan Penyelamat yang dalam perjalanan menyelamat beberapa mangsa yang terperangkap di Kampung Kubang Rambutan dan Kampung Telaga Mas di Jalan Rantau Panjang-Jeli.
Air di atas jalan pada masa itu ialah pada paras paha hingga ke pinggang ketika operasi menyelamat dilakukan dan saya sempat merakam beberapa gambar. Selepas operasi selesai kami bertolak balik ke balai bomba dan sampai di sana kira-kira jam 1 tengah hari.
Semasa di sana saya meminta izin menggunakan sedikit ruang dan kemudahan internet untuk menghantar gambar-gambar dan video ke ibu pejabat tanpa menjamah sedikit pun makanan.
Salah seorang anggota menghulurkan beberapa keping roti dan air mineral ketika melakukan tugasan.
Syukur Alhamdulillah di atas keprihatinannya, hanya Allah jua mampu membalasnya.
Kira-kira pukul 3 petang saya menumpang trak untuk meredah banjir menuju ke pusat bandar, sesampai di sana menghubungi seorang rakan untuk menggunakan dron bagi merakam suasana banjir.
Selepas selesai segala tugasan dan menghantar beberapa klip video, jam sudah hampir 6.30 petang dan pada masa itu tempat penginapan masih belum ada. Pukul 7.30 malam selepas meredah air sedalam paras paha di atas jalan barulah berjumpa dengan rumah tumpangan.
Keadaan masa itu amat menguji kesabaran, tanpa sebarang makanan dan minuman kerana semua kedai tutup. Hanya air paip sebagai pengalas perut pada malam itu.

5 Januari 2017
Pagi menghubungi rakan, dengan ihsannya dapatlah menggunakan lori miliknya meredah banjir mencari makanan di Kampung Gual Tok Deh kira-kira 5 km dari tempat penginapan.
Kemudian bergegas pula ke Pusat Pemidahan Sekolah Kebangsaan Seri Rantau Panjang 2 untuk membuat liputan video lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.
Pada sebelah petang kira-kira jam 5 saya membuat liputan sukarelawan banjir usahawan Rantau Panjang dengan menaiki sampan di Jalan Sekolah Cina. Mereka menagihkan sejumlah 300 bungkus nasi dan makanan kering kepada mangsa yang tidak berpindah.
Ketika berada di dalam sampan air berkocak kuat dan sampan yang saya naiki terbalik pada kedalaman paras dada.
Segala peralatan yang saya bawa iaitu kamera dan laptop di dalam beg galas jatuh ke dalam air bersama-sama saya.
Beberapa lensa, kamera dan telefon bimbit saya serta laptop milik pejabat basah dan tidak boleh digunakan.
Namun begitu usaha tetap dilakukan untuk menghantar gambar-gambar yang telah dirakam dengan menggunakan kemudahan komputer dan internet di Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh pada sebelah malamnya.

6 Januari 2017
Walaupun segala peralatan tidak boleh digunakan dan komunikasi dengan ibu pejabat terputus, Syukur Alhamdulillah dengan menggunakan telefon bimbit seorang penduduk tempatan, saya dapat membuat liputan video lawatan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ke Pusat Pemidahan Banjir Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, Rantau Panjang. 

1 comment: