Monday 7 October 2013

Waspada godam ....


Tindakan pantas pihak Teknikal berjaya memulihkan segera sistem emel Bernama yang digodam Khamis lepas dalam kejadian pertama seumpamanya.
Jurutera sokongan Bessar Saudara Mohd Halim Esham berkata email Bernama mengalami gangguan pada kira-kira pukul 11.30 pagi itu tetapi dapat diatasi dalam masa sejam.
Pihak yang membuat angkara itu dikesan lokasinya di Amsterdam, Belanda.
“Ini pertama kali berlaku dan kita perlu lebih berhati-hati bagi mengelakkannya daripada berulang,” katanya.
 “Masalah itu boleh dianggap serius kerana email Bernama tidak boleh diproses untuk keluar dan masuk…terlalu banyak dalam queue,” katanya.
Beliau menasihati pemilik-pemilik akaun Bernama menukar kata laluan emel agar akaun mereka selamat.  
Emel rasmi itu juga tidak seharusnya digunakan untuk mendaftar dalam senarai emel, kumpulan perbincangan, muat turun, pendaftaran di internet yang boleh  menyebabkan pengguna menerima pelbagai emel yang tidak diundang dengan banyak setiap hari. 
“Apa yang berlaku hari itu ialah hacker telah menggunakan email Bernama milik seorang petugas untuk sebar email secara berterusan melalui server Bernama,” katanya. Ada kira-kira 300 pemilik akaun emel Bernama.
Dalam peringatan kepada petugas Bernama yang menggunakan emel Bernama, pihak  Teknikal menyatakan ia mendapati 80 peratus percubaan Spam adalah berpunca daripada pengurusan kata laluan pengguna yang lemah.
Pengguna Emel Bernama perlu menukarkan katalaluan yang diberikan dengan serta merta.
Keselamatan katalaluan yang digunakan merupakan tanggungjawab sepenuhnya pengguna. Katalaluan yang selamat adalah gabungan antara abjad dan nombor (minimum 8 aksara).
Kegagalan pengguna menukar kata laluan emel boleh mengakibatkan pengguna luar (Hacker/ Spammer) mencuri dan menyalahgunakan emel Bernama bagi tujuan ‘spamming’ dan operasi penghantaran dan penerimaan emel juga akan turut terjejas.
Pengguna perlu memaklumkan kepada pentadbir emel sekiranya bercuti panjang, berkursus panjang atau bertukar sementara ke tempat lain.
Akaun emel yang didapati tidak digunakan atau tidak aktif lebih daripada 90 hari secara berterusan akan digantung dari sistem emel.
Kegagalan mentadbir kata laluan emel pengguna boleh menyebabkan akaun emel mudah digodam oleh penjenayah siber serta digunakan sebagai perantaraan bagi menghantar SPAM.
Ini akan membawa implikasi kepada keselamatan data pengguna termasuk menjejaskan imej Bernama keseluruhannya.
Kelemahan mentadbir kata laluan emel itu juga menyebabkan operasi sistem server emel akan terjejas manakala domain email @bernama.com akan disenarai hitam dalam pangkalan data antarabangsa sebagai SPAMMER.

No comments:

Post a Comment