Monday 14 October 2013

Menjelang wukuf ...


Biarpun sedih berjauhan dari keluarga menjelang Hari Raya Aidil Adha esok, jurufoto kanan Kassim Saad menyatakan seruan menunaikan Haji lebih utama untuk dilaksanakan.
“Rasa sedih ada, seronok pun ada…walaupun beraya di Tanah Suci ni sedih jauh dari keluarga, seronok pasal dapat sambut Aidil Adha di Tanah Suci pagi tadi ramai-ramai takbir raya,” katanya yang berada di Arafah.
Kassim dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Audio Visual Mokhtar Hussain  adalah antara ratusan petugas media dari negara-negara Islam yang diundang oleh kerajaan Arab  Saudi untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.
“Tolong sampaikan salam Aidil Adha kepada semua kawan-kawan kat Bernama... Alhamdulillah saya dan Mokh sihat kat sini… harap dpt mengerjakan haji dgn sempurna,” katanya selepas bersarapan roti prata dan kuah dhal serta susu panas.
Beliau tidak pasti berapa ramai jemputan media kali ini.
“Semalam kami dari Jeddah saja 5 bas,  yang dari Madinah dan Makkah tak tau la berapa.. dengar cerita 1,000 lebih.
“Ramai kat sini…kami dalam kawasan khas ada tentera jaga keluar masuk,” katanya.
"Esok insyaAllah naik heli kat Mina untuk ambil gambar dari udara," kata Kassim.
Menurutnya, Timbalan Menteri Penerangan dan Kebudayaan Arab Saudi Dr. Abdullah Al-Jasser melawat kawasan media lepas solat Isyak semalam.
Beliau berkata cuaca agak panas terik hari ini.
“Cukup tidur, kena minum air banyak skit,” katanya mengenai cara beliau menjaga kesihatan 
“Kesabaran adalah penting bersama kekuatan mental dan fizikal untuk mengerjakan Haji,” katanya.

Sementara itu, Azeman Ariffin melaporkan  bahawa kesemua 22,320 jemaah haji Malaysia telah berada di padang Arafah sejak malam tadi sementara menunggu waktu wukuf selepas solat Asar nanti.
Ketua Rombongan Haji Tabung Haji (TH), Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ketibaan jemaah haji Malaysia awal sehari itu adalah satu rekod baharu bagi TH kerana sebelum ini jemaah haji tiba lewat sehingga jam 3 petang pada 9 Zulhijjah.
Katanya, sebanyak 425 buah bas digunakan untuk membawa jemaah haji Malaysia dari Makkah ke Arafah dengan bas terakhir tiba pada pukul 1.30 pagi waktu tempatan (4.30 pagi waktu Malaysia).
"Pergerakan jemaah berjalan lancar dan jalan raya tidak begitu sesak mungkin disebabkan oleh pengurangan kuota 20 peratus dan usaha Kerajaan Arab Saudi yang mengawal ketat kemasukan jemaah haji yang tidak mempunyai visa haji yang sah pada musim haji tahun ini," katanya kepada pemberita Malaysia di Arafah Isnin.
Kesemua jemaah haji berada dalam keadaan sihat dan keadaan suhu di Arafah pada awal pagi semalam ialah sekitar 45 darjah Celsius dan menurun kepada 35 darjah Celsius pada waktu malam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dijadual memberi khutbah solat Zohor pada tengah hari nanti dan jemaah haji akan mula bersendirian untuk berdoa atau bermunajat kepada Allah S.W.T. selepas solat Asar.
Pada tengah malam, kesemua jemaah haji mula bertolak ke Muzdalifah untuk bermalam atau sekurang-kurangnya singgah bagi mengutip batu sebelum ke Mina untuk melontar.

No comments:

Post a Comment