Tuesday 1 October 2013

Doa selamat untuk Mokhtar dan Kasim...


Majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat diadakan di surau Bernama tengah hari ini bagi memohon keberkatan perjalanan dan urusan Haji, Timbalan Ketua Pengarang  Perkhidmatan Audio-visual Mokhtar Hussein dan jurufoto kanan Kasim Saad.
Majlis anjuran bersama Jawatankuasa Surau dan Bernama TV itu dipimpin Encik Asri Junin yang kemudian mengimamkan solat fardu Zohor.
Mokhtar dan Kasim dijadual berangkat ke Tanah Suci esok dan pulang pada 26 Oktober ini.
Pemergian mereka atas undangan kerajaan Arab  Saudi yang saban tahun membuat pelawaan itu kepada para petugas media dari negara-negara Islam.
Mokhtar mengucapkan terima-kasih kepada jawatankuasa surau, rakan-rakan dan jemaah yang mendoakan kesejahteraan beliau serta memohon kepada Allah s.w.t. agar memudahkan beliau mengerjakan rukun Islam kelima itu.
Beliau turut memohon maaf kepada semua jika ada salah dan silap.
Katanya beliau berasa tenang dan bersyukur kerana berpeluang menjadi tetamu Allah s.w.t. pada musim haji kali ini.

Setelah mereka berdua menunggu dengan penuh debaran untuk mendapatkan visa yang belum diperolehi sehingga tengah hari ini, Kasim mencatatkan dalam Facebooknya petang ini berita menggembirakan.
"SYUKUR ALHAMDULLILLAH..... Visa untuk saya pergi menunaikan ibadah haji telah pun lulus. Saya memohon ampun dan maaf segala salah silap saya kepada sesiapa yang pernah terasa hati dengan saya dan juga mohon dihalalkan makan minum. InsyaAllah kalau dipanjangkan usia hujung bulan ini kalau diizinkan Allah subhanahuwataala kita dapat berjumpa kembali," kata Kasim.
Sementara itu, Ketua Biro Pulau Pinang Azeman Ariffin yang berada di Tanah Suci terus gigih melaporkan berita walaupun demam dan selsema.
Beliau mengikuti rombongan 24 petugas media di bawah kelolaan Lembaga Tabung Haji yang membuat liputan sejak 3 September dan  dijadualkan pulang pada 26 Oktober ini.
Azeman berkata beliau menghasilkan antara dua hingga tiga berita sehari.
Antara berita yang akan diingatinya ialah wawancara dengan bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi Datuk Syed Omar al- Saggaf yang mempunyai banyak pengalaman.
“Dia citer orang dulu-dulu mai haji macam mana…masa tu dia student di Madinah.
“Cerita-cerita ini menarik sebab saya teringat masa kecik-kecik di Penang memang busy masa musim Haji,” katanya.
Ada banyak lagi berita menarik yang telah ditulis oleh Azeman sejak berada di Tanah Suci.
Semalam beliau dan rombongan media itu melawat kilang air zam zam dan melihat cara ia dibotolkan.
“Saya nak tulis mengenai usaha kerajaan Arab Saudi memastikan orang ramai mendapat bekalan air zam-zam yang ori,” katanya.
“Tengah fikir nak buat mengenai sejarah air zam-zam…dulu air disimpan dalam teko tanah, sekarang air dibotolkan.
“Bila mai Makkah, ada dua benda orang bawa balik iaitu air zam zam dan kurma,” kata Azeman.

No comments:

Post a Comment