Friday 11 October 2013

Menghidupkan semula AINAG ….


Cadangan telah dibuat agar dihidupkan semula Kejohanan Sukan Antara Agensi-agensi Berita Asean (AINAG).
Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong berkata cadangan itu dinyatakan  Presiden Thai News Agency (TNS) semasa pertemuan mereka ketika menghadiri  mesyuarat agung Pertubuhan Agensi-agensi Berita Asia Pasifik (OANA) di Moscow bulan lepas.
“Mereka berminat mengadakan acara badminton dan bowling,” katanya yang masih ingat kali terakhir AINAG diadakan di Bangkok.
“Dulu kita pergi dengan keretapi, masa tu tak ada lagi Air Asia…,” katanya semasa mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan semalam.
Cadangan TNA itu akan dibincangkan lagi kemudian.
 Bagi Puan Norliza Hashim yang mewakili Bernama untuk AINAG 1995 di Bangkok, acara itu adalah antara kenangan manis dalam ingatannya.
“Kami naik bas dari Kuala Lumpur ke Butterworth dan kemudiannya naik keretapi ke Bangkok.
Perjalanan mengambil masa dua hari pergi dan dua hari balik…penuh-lah juga  bas dengan kira-kira 30 orang petugas Bernama,” kata Norliza dari Perkhidmatan Berita Antarabangsa.
Selain Thai News Agency (TNA) selaku tuan rumah, temasya sukan itu disertai Bernama dan ANTARA dari Indonesia.
Acara yang dipertandingkan ialah badminton, dart dan bowling.
“Saya main badminton berpasangan dengan Hafizah (Kamaruddin) serta bergu campuran dengan Mokhtar (Hussain),” kata Norliza yang berkhidmat dengan Bernama sejak 1985.
Pada jamuan malam pada hari terakhir, setiap agensi diminta membuat persembahan kebudayaan negara masing-masing.
“Kalau saya tidak silap, kita mempersembahkan tarian ‘Ulik Mayang’.
“Kita juga siap sediakan bunga pahar yang kita berikan kepada peserta sebagai cenderahati,” katanya.
Para peserta bukan sahaja dari kalangan wartawan tetapi juga petugas bahagian-bahagian lain dalam agensi berita masing-masing.
“Layanan TNA memang ‘tip top…kami turut dibawa melawat tempat-tempat tarikan pelancong di sekitar Bangkok,” katanya.
Norliza menyambut baik usaha mengadakan semula AINAG.
“Takkan kita asyik bertukar-tukar berita aja, elok kalau warga agensi-agensi berita ini dapat berkenalan.
‘Sukan adalah cara berkesan untuk menjalin hubungan,” katanya.
Bekas petugas Bernama Baki Ghani pula berkata Bernama sebelum itu mengambil bahagian dalam sukan persahabatan dengan ANTARA di Jakarta.
Ia kemudiannya diadakan di Denpasar, Bali, yang dinamakan sebagai 2nd Asean Inter-News Agencies Games (AINAG) dari 11 hingga 15 Julai 1990.
Acara sukan yang dipertandingkan ialah bowling, dart dan ping pong.
“Semasa di Jakarta, kita juga selitkan acara bola sepak sebagai acara sampingan…seorang pemain kita ialah wartawan wanita Yeoh Lin Lin!,” kata Baki, yang bersara pada tahun 2011 pada usia 58 tahun.   
 

No comments:

Post a Comment